fbpx

Melaka mohon PM nilai semula projek tebatan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Mohd. Ali (kiri) dan Sulaiman (tiga dari kiri) pada majlis perasmian SRA JAIM Seri Duyong, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kerajaan negeri memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai semula keputusan dibuat berhubung arahan tidak meneruskan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, Melaka antara negeri paling teruk terjejas memandangkan antara empat hingga lima projek telah dilaksanakan pada peringkat awal, sejak September lalu.

Beliau berkata, masalah banjir menjadi isu paling utama di negeri ini dan keseluruhan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM932 juta yang dirancang di Krubong, Sungai Duyong, Jasin, Alor Gajah dan Merlimau telahpun mula berjalan.

“Saya mohon Perdana Menteri untuk melihat semula kawasan-kawasan terutama RTB yang perlu disiapkan segera bagi mengelakkan lagi isu-isu banjir terus berlaku di Melaka.

“Keseluruhan projek antara empat atau lima telah bermula di peringkat awal pada September tempoh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Seri Duyong yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di sini, hari ini.

Sulaiman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa tender diteliti semula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI