fbpx
TEH Chang Khim (tengah) ketika sidang akhbar di Bangunan SUK Selangor, semalam.

SIBS 2022 catat potensi rundingan jualan RM1.45 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor berjaya mencatatkan potensi rundingan jualan bernilai RM1.45 bilion pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022, yang berakhir pada 9 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim berkata, jumlah tersebut adalah yang tertinggi sepanjang sejarah penganjuran sidang berkenaan.

“Pada SIBS 2021, hanya RM217.6 juta nilai potensi rundingan jualan sahaja dapat dicatatkan dan hal ini berlaku kerana ketika itu Malaysia baharu mula untuk membuka pintu sempadan.

“Sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU_ melibatkan kerjasama dalam pelbagai sektor berjaya ditandatangani pada sidang kali ini,” katanya pada sidang akhbar bagi memaklumkan kejayaan SIBS 2022 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini semalam.

Menurutnya, MoU paling besar yang berjaya dimeterai adalah antara CSSM Asset Management Sdn. Bhd. dan Harum Minat Sdn. Bhd. untuk kerjasama membangunkan International Integrated Logistics Services (IILS) di Sepang.

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Petronas Global Technical Solutions Sdn. Bhd. (PGTSSB) turut menandatangani MoU berhubung beberapa projek bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

“Manakala bagi Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022, sebanyak 14 MoU berjaya ditandatangani merangkumi kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta industri aeroangkasa.

“Kita mensasarkan lebih banyak potensi rundingan jualan yang dapat ditandangani pada SIBS dan SAS akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR