fbpx

Konsert Pertunjukan Tutur Batin Yura Yunita di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YURA Yunita akan turun ke Kuala Lumpur bagi bertemu peminat negara ini menerusi penganjuran konsert Pertunjukan Tutur Batin Live Concert pada 2 Februari tahun depan.

DUA tahun langkah kariernya terkunci dek pandemik yang mencengkam seisi dunia, suasana yang kembali berputar normal membuka peluang besar buat penyanyi seberang, Yura Yunita menyapa peminat di negara ini.

Penyanyi dan juga penulis lagu Sunda itu mahu lebih dekat dengan penggemarnya di Malaysia, justeru sebuah konsert istimewa direalisasikan oleh Renjana Idea.

Akan menemui peminat lokal pada 2 Februari tahun depan bertempat di pentas ikonik Zepp KL, Yura hadir dengan konsert Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur.

Impian menjayakan konsert di negara ini sudah lama dinantikan Yura atau nama sebenarnya Yunita Rachman, 31, dan dia sangat berbesar hati dapat menebarkan harum karyanya di sini.

“Lamaran daripada Renjana Idea tidak harus dilepaskan. Sejak album pertama hinggalah Merakit dan kini Tutur Batin, ada banyak momen yang ingin saya kongsikan bersama peminat.

“Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur akan menjadi ruang intimasi saya dan peminat berbahagi rasa serta meraikan kehidupan penuh liku tetapi tidak pernah patah semangat juang,” tuturnya.

Terbaik

Yura cukup terkenal sebagai salah seorang penyanyi yang mengangkat lagu tradisional Sunda dan menggabungkannya bersama genre fusion dengan pop moden.

Profil penyanyi yang pernah menyertai pertandingan realiti The Voice itu bukan calang-calang kerana impak single Intuisi yang dilancarkan pada 2016 meninggalkan sejarah tersendiri buat Yura.

Menerusi lagu tersebut, dia menerima penghargaan Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 dan setahun kemudian, dia menjulang trofi Penyanyi Solo Wanita Terbaik pada acara sama.

Bahkan, Yura juga memenangi anugerah Artis Solo Wanita Pop Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia baru-baru ini.

Dia pernah menjadi anak didik mendiang Glenn Fredly ketika menyertai The Voice sehingga berpeluang beradu vokal dengan penyanyi itu menerusi lagu Cinta dan Rahasia.

Tiket konsert Yura dijual pada harga RM180 (Tutur Batin), RM250 (Yura), RM280 (Merakit) dan RM4,640 (VIP Box Meet & Greet, maksimum lapan orang).

Sebarang tempahan tiket, layari goliveasia.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI