fbpx

Bekas Ketua Balai Polis Tengkera mengaku ambil sogokan RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Bekas Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengambil wang RM6,000 sebagai balasan membantu kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, yang membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis berpangkat Sub Inspektor telah menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada seorang individu dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 5 petang hingga 6.15 petang di bilik pejabatnya di Balai Polis Tengkera, dalam daerah Melaka tengah pada 11 Ogos 2020.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada 4 Ogos 2020 telah membuat rondaan cegah jenayah bersama dua anggotanya dan mengesan sebuah premis hiburan melanggar SOP PKP dengan mengadakan persembahan muzik.

Tertuduh kemudian telah memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berhubung kesalahan itu dan notis amaran dikeluarkan.

Selepas anggota MBMB beredar, tertuduh telah meminta RM6,000 daripada pemilik premis sebagai balasan bantuannya dan wang tersebut diterima 11 Ogos di pejabatnya.

Terdahulu, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat selama 41 tahun dan berasa kecewa terhadap diri sendiri sehingga tidak mampu berdepan dengan ahli keluarga dan kenalan susulan kes tersebut.

Katanya, tertuduh juga amat menyesal dan tidak akan mengulangi perbuatan itu, apatah lagi telah hampir untuk tempoh persaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira jawatan dipegang tertuduh sebagai Ketua Balai yang sepatutnya menjadi teladan kepada anggotanya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar, selain pertuduhan lain turut diputuskan sebagai Take Into Considerstion (TIC). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI