fbpx
Gambar fail yang dirakam pada 20 Ogos 2010 menunjukkan loji tenaga nuklear Bushehr di selatan Iran. - Foto AFP

Iran mula bina loji nuklear baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN – Agensi Tenaga Atom Iran kelmarin memaklumkan bahawa negara itu telah memulakan pembinaan sebuah loji nuklear baharu di wilayah barat daya Khuzestan dengan pembinaannya dijangka mengambil masa selama tujuh tahun, lapor laman berita Wion News. 

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan stesen televisyen negara itu, Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Mohammad Eslani mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan loji nuklear berkapasiti 300 megawatt tersebut yang dikenali sebagai Karun, sudah pun dimulakan.

Pengumuman mengenai pembinaan loji tersebut di daerah Darkhovin, Khuzestan dibuat selepas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi berkata, hubungan badan tersebut dengan Iran perlu kembali ke landasan yang betul.

Menurut Eslani, pembinaan loji itu dijangka menelan belanja antara AS$1.5 bilion (RM6.58 bilion) dan AS$2 bilion (RM8.78 bilion) dan ia pada awalnya ditetapkan untuk dibina oleh sebuah syarikat Perancis. 

Bagaimanapun, katanya, syarikat tersebut bertindak menarik diri daripada komitmen untuk membina loji tersebut selepas berlakunya Revolusi Islam pada tahun 1979, manakala negara-negara lain mengelak daripada berkerjasama dengan Republik Islam Iran kerana sekatan yang dikenakan ke atas Teheran.

Negara tersebut sebelum ini mempunyai sebuah loji nuklear di Bushehr yang beroperasi pada tahun 2013 dan menghasilkan tenaga elektrik di negara tersebut. 

Sementara itu, Jumaat lalu, Grossi berkata, Iran berselisih pendapat dengan badan pemerhati nuklear PBB itu mengenai maklumat yang perlu diberikan berkaitan program tenaga atom.

Beliau memberitahu persidangan di Rom, Itali: “Nampaknya kami tidak bersetuju dengan Iran mengenai kewajipan mereka kepada IAEA. Kami perlu meletakkan hubungan ini kembali ke landasan yang betul.”

Bagaimanapun, Grossi menyuarakan kebimbangan mengenai pengumuman terbaharu oleh Teheran bahawa ia sedang meningkatkan kapasiti pengayaan uraniumnya.

Satu perjanjian nuklear ditandatangani pada tahun 2015 dan Iran bersetuju dengan pakatan bersama enam kuasa besar dunia untuk mengehadkan program nuklearnya. – Agensi 

POPULAR