fbpx
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - FOTO/ IVAN AMIRUL

‘BN Sabah kecewa dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah berasa dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila tiada seorang daripada tujuh Ahli Parlimennya dilantik sebagai Menteri penuh.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan dua menteri mewakili Sabah masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.

Bung Moktar menyatakan jumlah berkenaan tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

“Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komiten awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini berbanding Sarawak yang mendapat lima lantikan Menteri,” katanya.

Bung Moktar berkata demikian dalam kenyataan media berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan diikuti GRS (enam), PH (lima), WARISAN (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malahan BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri berkenaan daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan khususnya dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018.

“Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri malam tadi mengumumkan barisan Kabinetnya yang mengandungi 28 menteri termasuk dua TPM yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). – KOSMO! ONLINE

POPULAR