ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar daripada terpaksa bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Onn Hafiz berkata, pendirian itu selari dengan semangat Bangsa Johor yang selama ini menyaksikan BN Johor tidak pernah membentuk kerajaan negeri bersama DAP, walaupun situasi politik di peringkat Persekutuan berbeza.
“Insya-Allah apabila kerajaan negeri ditubuhkan semula dengan perkenan Tuanku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor, jika rakyat memberikan mandat kepada BN sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri.
“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka. Inilah semangat Johor, semangat Bangsa Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, keengganan beliau bekerjasama dengan DAP bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya kerana perbezaan prinsip dan pendekatan politik.
Katanya, rakyat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup sebagai satu keluarga besar di bawah payung Bangsa Johor dan perkara itu perlu terus dipertahankan.
“BN Johor tidak pernah duduk semeja dengan DAP. Senario di pusat dan Johor berbeza. Yang saya ingat pernah duduk semeja dengan DAP ialah Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi rakyat perlu ingat perkara itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga penyandang DUN Machap turut mempertahankan keputusan kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal walaupun penggal pentadbiran masih berbaki sehingga April tahun depan.
Menurutnya, faktor Ramadan, Aidilfitri, musim tengkujuh serta ketidaktentuan geopolitik dunia antara pertimbangan utama yang diambil kira sebelum keputusan tersebut dibuat.
“Ramai bertanya mengapa Johor bubar DUN sekarang. Hakikatnya, bulan Februari Ramadan, Mac Aidilfitri, manakala November hingga Januari pula musim tengkujuh.
“Dalam keadaan ekonomi dan geopolitik dunia yang mencabar, Johor memerlukan kerajaan yang lebih stabil supaya agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyasarkan kemenangan lebih besar buat BN Johor berbanding PRN 2022 dengan terus mendekati rakyat pelbagai kaum serta meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Bantuan Kasih Johor (BKJ).
“Insya-Allah kita bukan sekadar mahu menang, tetapi menang dengan majoriti yang lebih membanggakan. Namun kemenangan itu tidak datang bergolek, sebaliknya perlu diperjuangkan melalui kerja keras dan khidmat kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














