fbpx

Azalina mahu semak semula undang-undang lapuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina

KOTA TINGGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said mahu meletakkan fokus utama untuk menyemak semula undang-undang yang lapuk dan membuat pindaan diperlukan agar undang-undang tersebut relevan pada masa kini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, sebagai contoh dalam usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memelihara kebebasan budi bicara Pendakwa Raya.

“Saya juga akan memastikan isu-isu berkaitan undang-undang dan reformasi institusi yang tertunggak, termasuk status kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu warganegara Malaysia akan diteruskan.

“Jika perlu, undang-undang yang sedia ada dipinda untuk mengembalikan hak kesaksamaan kepada rakyat yang terpinggir mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia, dan yang tidak diberi layanan sama rata di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, beliau yakin dan percaya terdapat banyak cabaran yang bakal dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan dalam mengharungi penggal yang akan datang dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun 2023.

Oleh itu beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, kerjasama yang baik dengan semua wakil rakyat daripada pelbagai parti untuk menangani cabaran tersebut adalah sangat diperlukan.

Dalam pada itu Azalina turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di dalam Kabinet Perpaduan yang bersejarah itu.

“Saya Juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengutamakan pembangunan negara dan berani mengetepikan politik kepartian serta menaikkan tahap politik Barisan Nasional dengan menghulurkan tangan kepada pihak politik lawan demi masa depan negara.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Pengerang kerana sekali lagi memberi saya peluang untuk berkhidmat.

“Saya tidak akan mengambil mudah kepercayaan ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada saya,” katanya lagi.

Terdahulu Azalina merupakan antara 27 Ahli Parlimen yang mengangkat sumpah jawatan menteri Kabinet baharu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI