fbpx

Mahkamah: 14 saksi pendakwaan akan dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 saksi pendakwaan dijangka dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn dalam pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bagaimanapun pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan tidak mendedahkan secara terperinci saksi-saksi pendakwaan yang akan dipanggil.

Sementara itu, semasa prosiding, hakim Mohamed Zaini mengingatkan peguam bela Rosmah supaya memberi keutamaaan kepada perbicaraan kes itu.

Ini kerana Mohamed Zaini berkata, kes tersebut belum dibicarakan walaupun empat tahun sudah berlalu.

“Kes ini sudah mengambil masa yang lama, sejak 2018 lagi,” katanya.

Mohamed Zaini berkata, beliau berpandangan peguam hanya boleh mengutamakan kes lain sekiranya ia membabitkan hukuman mati.

Justeru mahkamah menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Rosmah didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Affin Bank Berhad, Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pada 22 november lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mendengar penghujahan lanjut sama ada mempunyai bidang kuasa mendengar dua rayuan Rosmah untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini dalam perbicaraan kes itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar pada hari itu, bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis berhubung isu interlokutori yang dibangkitkan oleh mahkamah.

Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 23 Disember ini bagi pengurusan kes rayuan tersebut.

Pada 1 September lalu, hakim Mohamed Zaini menjatuhi hukuman 10 tahun penjara dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah, 70, bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI