fbpx

‘Meniaga kek pun dah tak seronok’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIPAH menunjukkan telur ayam gred A yang digunakan untuk membuat kek di kedainya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Bekalan telur ayam yang didapati mulai ba­nyak di pasaran ketika ini tetap tidak memberi kelegaan kepada peniaga kek, pembuat kuih dan orang ramai kerana barang ke­perluan itu kini dijual dengan harga mahal.

Tinjauan di sekitar daerah ini mendapati, harga telur ayam gred C mencecah RM12.90, manakala gred B (RM13.50) dan gred AA menjangkau RM16 sepapan berbanding harga lama untuk gred C (RM10,99), B (RM12.50) dan AA (RM13).

Rata-rata peniaga yang menjadikan telur sebagai bahan asas itu untuk produk makanan mereka memberitahu, keadaan itu menyebabkan pendapatan yang diperolehi masih rendah hingga perlu menaikkan harga kek dan biskut bagi mengelak daripada terus menanggung rugi.

Pembuat kek di Taman Ria Jaya, Sharipah Kassim, 45, berkata, memang bekalan telur sema­kin banyak dan boleh didapati dengan mudah di semua premis perniagaan sekarang.

“Tetapi harga jualannya tinggi dan ini menyebabkan kos kami meningkat hingga mengganggu operasi pengeluaran kek dan biskut kami.

“Harga tepung roti, tepung gandum, marjerin dan kekacang tidak pernah alami penurunan menyebabkan pendapatan kami tak pernah meningkat,” katanya.

Menurut Sharipah, sebelum ini bagi menampung kos pengeluaran dia terpaksa menaikkan harga kek dibuatnya antara RM3 hingga RM5 bergantung kepada saiz dan antara RM2 hingga RM4 untuk sebalang biskut.

Kata ibu tiga anak berusia antara 12 hingga 26 tahun ini, dia turut hairan kenapa harga masih tidak dapat dikawal pihak berkuasa walaupun bekalan te­lur memenuhi pasaran sekarang.

“Saya masih membeli telur gred A pada harga RM14.90 sepapan berbanding sebelum ini RM13.50, sedangkan bekalan te­lah semakin banyak.

“Di mana silapnya pihak pe­nguat kuasa kementerian terbabit hingga tidak mampu me­ngawal harga yang sesuka hati dinaikkan peniaga,” katanya.

Seorang pembuat kuih-muih, Zaiton Maarof, 46, berkata, dia dan ramai pengusaha lain hairan kerana beranggapan tiada guna­nya bekalan telur banyak di pasaran tetapi harga jualannya masih tinggi.

“Walaupun kami tidak memi­lih gred telur yang digunakan untuk menghasilkan kuih semperit, tart nanas dan kuih-muih lain, namun harga mahal untuk membelinya membuatkan pendapatan kami turut terjejas.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu peniaga kecil se­perti kami sering alami tekanan kerana pelbagai barangan alami kenaikan harga mendadak,” katanya.

Menurut seorang suri rumah, Zarina Chik, 51, memang masalah bekalan telur tidak lagi menjadi isu untuk mereka sebaliknya membuatkan mereka tertekan kerana perlu berbelanja tinggi untuk mendapatkannya.

“Keadaannya sama seperti ketiadaan bekalan dahulu kerana sekarang walaupun bekalannya mudah tetapi kami terpaksa mencatu pula pembelian kerana harga tinggi.

“Kami pengguna berharap pihak berkuasa turun padang meninjau dan mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI