fbpx
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa selepas kenderaan dipandunya melanggar belakang sebuah lori membawa muatan tar di Kilometer 202 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di Ayer Keroh, Melaka, awal pagi tadi.

Pemandu lori muatan telur tersepit rempuh belakang lori tar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pemandu lori telur terpaksa menahan kesakitan selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer 202 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di Ayer Keroh di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, lori jenis Isuzu lima tan membawa muatan telur dipandu mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori Nissan UD 14 tan yang membawa muatan tar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 10 anggota bersama tiga jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan Rapid Intervention Motorcycle (RIM) terlibat dalam operasi menyelamat itu.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori bonded jenis Isuzu lima tan membawa muatan telur yang melanggar belakang lori Nissan UD 14 tan membawa muatan tar.

“Terdapat seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun tersepit di bahagian pemandu lori muatan telur manakala seorang lagi lelaki berusia 31 tahun di bahagian penumpang mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, seorang lagi lelaki berusia 53 tahun yang turut terlibat dalam kejadian itu dilaporkan selamat.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans EMRS dan ambulans St. John untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi yang turut dibantu polis dan ambulans St. John itu tamat sepenuhnya pada pukul 3.57 pagi.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN