fbpx
UNGKU Ismail beranggapan, keadaan kesihatan Nad Zainal yang diuji kritikal ketika ini adalah ujian untuk hubungan mereka.

Ungku Ismail akui rapat dengan Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mengakui sedang rapat dengan Nad Zainal, aktor popular Ungku Ismail Aziz tidak kisah menjadi individu yang bertanggungjawab berkongsi perkembangan terkini berkenaan kesihatan pelakon itu.

Ungku, 36, bagaimanapun memohon orang ramai lebih fokus mendoakan kesembuhan bintang filem Kami Histeria itu berbanding bercakap tentang hubungan rapat mereka.

Namun akuinya, hubungan rapat mereka mula terjalin selepas terlibat dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

“Cerita kami ini adalah selepas dia bercerai, sebab tak mungkin kami rapat ketika dia masih bergelar isteri orang. Saya mula rapat dengannya ketika kami menjalani penggambaran drama Cina Buta.

“Selepas itu, saya ajak Nad merakamkan program travelog, dia sanggup buat bersama dan melabur.

“Sejak kerjasama itu, kami makin rapat. Tipulah kalau tiada hati cuma sekarang saya tak mahu beri kata putus mengenai hubungan kami,” katanya ketika ditemui di hospital Nad dirawat semalam.

KEDUA-dua pelakon ini mula rapat selepas terlibat dalam drama Cina Buta sebelum kemudian sama-sama menjayakan projek travelog.

Pada masa sama, Ungku Ismail menjelaskan, tindakannya yang setia menemani dan memaklumkan perkembangan terkini Nad kerana tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat.

“Kami rapat dan takkanlah apabila dia jatuh sakit, saya nak hilang macam itu saja. Ibu bapa saya tak ajar begitu.

“Setiap hari bila bangun pagi dapat mesej daripadanya dan apabila situasi tersebut tiada, memang rasa sunyi.

“Saya tak nak komen soal hati dan perasaan tetapi sejujurnya perasaan satu sama lain kuat. Sejauh mana hubungan ini, kita doakan yang terbaik,” ujarnya.

Pelakon yang popular menerusi drama Adellea Sofea itu juga memandang keadaan kesihatan Nad sebagai ujian untuk hubungan mereka.

“Boleh cakap kami memang rapat dan sedang mencari sesuatu yang terbaik. Ramai yang nak tengok sama ada saya mampu bertahan, jadi ini adalah ujian buat kami.

“Disebabkan itulah, saya mohon doa daripada orang ramai,” katanya lagi.

Sementara itu, bertanya mengenai keadaan kesihatan semasa Nad, Ungku berkata, pihak hospital memutuskan untuk menambah rawatan baharu.

“Dia sudah ada perubahan positif cuma doktor tidak mahu ambil mudah dengan perkara itu.

“Sekarang doktor cuba beri rawatan dengan lebih efisien. Sekiranya ada rawatan yang diperlukan terus bertanyakan kepada keluarga,” jelasnya.

Pada Isnin lalu, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, dimasukkan ke hospital susulan jangkitan kuman pada bahagian paru-paru.

Sejak itu, Ungku kerap berkongsi perkembangan keadaan teman rapatnya itu kepada orang ramai sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya tentang hubungan mereka.

Kemudian pada Selasa lalu, industri hiburan sekali lagi dikejutkan apabila Nad dilaporkan ditidurkan susulan mengalami pendarahan pada paru-parunya.

Ungku Ismail kelmarin memaklumkan doktor mengesyaki Nad mengalami penyakit autoimun.

Terdahulu, Nad pernah dijangkiti Covid-19 sekitar Mac lalu namun tidak mengalami sebarang gejala yang teruk.

Sejak kelmarin, nama Nad menjadi bualan ramai termasuk dalam kalangan selebriti yang tidak berhenti mendoakan kesihatannya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR