fbpx

Tiga beradik genggam PhD serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga beradik, Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-66, di Skudai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Didorong ibu bapa yang turut berkelulusan doktor falsafah (PhD), tiga beradik nekad menyambung pengajian sebelum berjaya memahat sejarah bergelar graduan PhD, serentak.

Faridah Mohd. Marsin, 39, bersama dua adiknya, Jamilia, 36, dan Aishah, 32, berkongsi pengalaman manis itu menerusi Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-66, di Skudai, di sini hari ini.

“Saya rasa sangat gembira, tidak pernah perasaan seperti ini kerana kami telah lama merancang untuk menamatkan pengajian PhD bersama-sama walaupun masing mendaftar pada tahun berbeza.

“Dengan sokongan ibu bapa, selain kami bertiga turut memberi motivasi dan kata-kata semangat kepada satu sama lain, akhirnya kami sama-sama berjaya selesaikan tugasan Viva dan alhamdulillah, kami berjaya,” katanya kepada pemberita di sini.

Faridah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik merupakan graduan PhD Kimia Analisis, manakala Jamilia yang merupakan anak ketiga graduan PhD Seni Bina dan Aishah yang merupakan anak kelima merupakan graduan PhD Kejuruteraan Bioproses.

Tiga beradik, Faridah (tengah), Jamilia (kanan) dan Aisyah bersama keluarga pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-66, di Skudai, Johor Bahru hari ini.

Ibu bapa mereka merupakan bekas pensyarah di UTM Skudai iaitu Pensyarah Sains Kimia, Dr. Mohd. Marsin Sanagi dan Pensyarah Sains Fizik, Dr. Noriah Bidin.

Sementara itu, Jamilia pula berkata, sejak kecil mereka sentiasa menyokong satu sama lain, khususnya dalam aspek pendidikan dan urusan keluarga.

“Sebagai adik-beradik, berbalah itu perkara biasa khususnya apabila terdapat perbezaan pendapat, tetapi pada akhirnya kita tetap menyokong antara satu sama lain dalam memastikan cita-cita bersama tercapai,” jelasnya.

Menurut Aisyah pula, antara cabaran dihadapi mereka adalah untuk mengimbangkan masa sebagai isteri, ibu, pelajar dan juga kakitangan kerajaan.

“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak seramai tiga, empat dan lima orang. Jadi, itu cabaran utama kami apabila perlu mengimbangkan antara belajar, keluarga dan kerjaya.

“Untuk itu kami perlu kuat semangat kerana kadangkala memang ada sampai tahap penat dan banyak pengorbanan perlu dibuat, namun alhamdulillah akhirnya semua telah terbalas,” ujarnya.

Tiga beradik itu merupakan antara 539 graduan yang menerima PhD dan Ijazah Sarjana mereka pada sesi majlis konvokesyen itu, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI