fbpx
rESTORAN ini menawarkan aneka pilihan sajian Barat dan tradisional.

Restoran fusion bertemakan seram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI kejauhan, papan tanda perkataan ‘Paku dan Pontianak’ berwarna hitam serta putih itu cukup menarik perhatian.

Suasana gelap dalam restoran yang terletak di Danau Kota, Kuala Lumpur itu juga memberikan satu pengalaman berbeza ketika menjamu selera.

Lebih menarik, restoran tersebut dihias dengan langsir putih dan baju kebaya yang dipamerkan pada bahagian belakang.

Menurut pemilik restoran Paku & Pontianak, Mohamed Mirzan, 38, konsep yang dipilih adalah bersesuaian dengan hasratnya untuk meraikan golongan wanita.

“Apabila bercakap mengenai pontianak, ia melambangkan figura wanita seram yang cukup sinonim dengan negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia.

“Konsep restoran dan pemilihan nama Paku & Pontianak ini adalah untuk menghargai kaum wanita itu sendiri.

“Ia merupakan satu konsep menarik yang cuba diketengahkan oleh restoran ini,” ujarnya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Bobby berkata, setiap pelanggan wanita yang datang ke premisnya akan menerima sekuntum bunga ros merah.

“Sebaik sahaja pelanggan wanita masuk ke dalam restoran ini, mereka akan diberikan sekuntum bunga sebagai tanda bahawa mereka diraikan,” katanya yang mengakui konsep tersebut menjadi salah satu daya tarikan restoran itu.

Bagi menu di restoran Paku & Pontianak pula, Bobby memilih konsep fusion dengan menggabungkan sajian Barat dan tradisional.

Antara menu wajib cuba di situ adalah chicken cordon bleu iaitu sajian isi ayam bersama keju dan sos istimewa, pan seared rib eye beef with rice dan snek berupa kentang goreng bersama keju, cili serta daging cincang.

BEGINILAH suasana ruang dalam restoran ini.

Menu spageti carbonara juga adalah antara hidangan paling laris dan cukup digemari pelanggan.

Jelas Bobby, buat masa ini, pilihan menu ala carte agak terhad kerana mahu memberi tumpuan kepada kelancaran operasi restoran.

“Buat masa ini, kami tidak mempunyai banyak menu kerana mahu memberi fokus terhadap kelancaran operasi restoran terlebih dahulu.

“Paku & Pontianak yang dibuka pada Jun lalu telah tular di dalam media sosial kerana konsep seram diketengahkan.

“Jadi, kami terpaksa memperkenalkan menu secara berperingkat bagi mengelakkan pelanggan menunggu lama,” ujarnya.

Bagi pilihan pencuci mulut pula, menu tradisional iaitu sira pisang menjadi sajian wajib cuba di situ.

Menurut Bobby, pemilihan sira pisang sebagai menu pencuci mulut adalah kerana ia agak sukar didapati di restoran-restoran lain.

“Jarang saya jumpa kafe atau restoran yang menyajikan menu pencuci mulut ini.

“Justeru, saya membawanya ke Paku & Pontianak supaya orang ramai dapat menikmati hidangan manis dan berlemak ini bersama keluarga serta rakan-rakan,” katanya.

Harga bagi setiap menu main course di Paku & Pontianak bermula pada RM20 sehingga RM35.

Paku & Pontianak dibuka setiap hari dari pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.

Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh diperoleh menerusi akaun Instagram @pakudanpontianak.

POPULAR

BERITA BERKAITAN