CAMERON HIGHLANDS – Isu kandungan racun perosak tinggi dalam sayur-sayuran di daerah ini mula mencetuskan rasa ‘seram’ dalam kalangan pelancong yang membeli produk di kawasan tanah tinggi itu.
Tinjauan semalam mendapati, rata-rata pelancong mengakui mereka kini lebih berhati-hati untuk membeli sayur walaupun kawasan itu terkenal sebagai pengeluar hasil segar.
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Nurul Aisyah Rahman, 41, berkata, dia terkejut apabila mengetahui dakwaan tersebut kerana sebelum ini dia tidak pernah meragui kualiti sayur dari Cameron Highlands.
“Sebelum ini saya menganggap sayur dari Cameron Highlands segar dan selamat dimakan tetapi apabila baca tentang isu itu saya jadi bimbang.
“Saya selalu datang sini memang saya akan beli sayur dan strawberi, tetapi bila dengar isu racun tinggi, saya jadi takut. Risau kalau makan boleh jejaskan kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Mohd. Hafiz Zulkifli, 39, dari Selangor, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibat keselamatan pengguna.
“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menggunakan racun secara berlebihan demi keuntungan.
“Kalau betul ada yang guna racun melampau, memang tak wajar. Ini soal kesihatan orang ramai,” katanya.
Seorang lagi pelancong, K. Anushka, 32, dari Perak, berkata, pengguna berhak mengetahui sumber dan tahap keselamatan makanan yang dibeli.
Katanya, pendedahan mengenai isu tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap produk tempatan.
“Saya harap pihak berkuasa tampil beri penjelasan supaya pengguna tak terus rasa was-was.
“Pemantauan lebih ketat serta tindakan penguatkuasaan tegas dilihat perlu bagi memastikan isu berkenaan tidak terus menjejaskan imej Cameron Highlands, ” katanya.














