KENANGAN beraya pada era 90-an sering mengundang nostalgia buat mereka yang membesar di kampung.
Tiada gajet dan hiburan moden, yang ada hanyalah keseronokan mengunjungi rumah ke rumah bersama sepupunya untuk mengumpul duit raya.
Namun bagi seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Rahman, pengalaman beraya sewaktu kecil meninggalkan satu memori sukar dilupakan.
Malah sehingga kini, dia masih gagal merungkai logiknya pengalaman tersebut.
Menurut Rahman, kejadian itu berlaku pada hari raya kedua ketika dia baru berusia 10 tahun.
“Waktu itu, saya dengan sepupu-sepupu dalam enam orang keluar beraya selepas selesai sesi bersalaman dan berfoto bersama keluarga.
“Sementara orang-orang tua menyambut tetamu, kami pula menjelajah dari rumah ke rumah untuk mengutip duit raya.
“Biasalah, naluri kanak-kanak yang teruja hendak kumpul banyak duit raya, kami berjalan sehingga ke hujung kampung,” katanya.
Dalam kelekaan mengunjungi setiap rumah, Rahman dan sepupunya tidak menghiraukan suasana yang sudah menghampiri waktu senja.
Mereka nekad untuk mengunjungi rumah atuk Leman yang digemari oleh kanak-kanak kerana suka menyapa ketika mengayuh basikal mengelilingi kampung.
Mengikut logik kanak-kanak, mereka percaya atuk Leman akan memberi duit raya banyak kerana dia terkenal dengan sifat pemurahnya.
Namun setiba di rumah tersebut, mereka berasa hairan kerana rumah itu sunyi dan tidak ada langsung suasana hari raya seperti kediaman lain.
Salam mereka dijawab oleh atuk Leman yang kemudian muncul di muka pintu dengan berbaju warna kelabu serta kain pelikat rona biru.
Kongsi Rahman, mereka tidak berasa seram, sebaliknya sedih membayangkan anak-anak atuk Leman tidak pulang beraya hingga menyebabkan dia terpaksa menyambutnya sendirian.
“Disebabkan kami masih budak-budak ketika itu, kami tidak bertanya hal-hal orang dewasa.
“Walaupun suasana agak janggal, namun kami tetap menjamah hidangan dan bergurau dengan atuk Leman seperti biasa.
“Anehnya, kami tidak mengharapkan duit raya pun kerana berasa kasihan melihat keadaan atuk Leman yang beraya bersendirian di rumah usang,” katanya.
Sebaik tiba di rumah, mereka dimarahi oleh ibu masing-masing kerana pulang lewat dan merayau terlalu jauh.
Demi membela diri, Rahman menceritakan tentang keadaan atuk Leman yang beraya bersendirian untuk mengalih emosi ibu dan ibu saudaranya.
Namun reaksi ibu dan ibu saudaranya berubah menjadi terkejut, sebelum Rahman disoal lanjut mengenai kesahihan cerita tersebut.
Menurut Rahman, neneknya kemudian memaklumkan bahawa atuk Leman telah meninggal dunia beberapa minggu sebelum Ramadan.
“Kami semua terkejut. Nenek kata rumah itu sudah lama kosong dan tidak berpenghuni sejak atuk Leman meninggal dunia.
“Pakaian dipakainya sewaktu ditemui meninggal oleh anak bongsunya adalah seperti yang kami nampak pada hari itu.
“Anaknya itu kini tinggal bersama keluarga kakaknya di bandar dan mereka tidak pulang beraya di kampung pada kali ini.
“Sehingga sekarang, cerita itu masih dibangkitkan dalam keluarga setiap kali Syawal.
“Ini kerana, misteri individu yang menjamu kami makanan, dan sajian yang kami makan di dalam rumah itu masih tidak terjawab sehingga kini,” katanya.















