fbpx
Son Heung-min sempat cergas sepenuhnya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu Uruguay sebentar tadi. Foto ihsan Twitter FA Uruguay

Piala Dunia: Korea Selatan, Uruguay sama ‘handal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA – Pasukan Korea Selatan berjaya mencuri satu mata berharga selepas mengikat Uruguay 0-0 pada perlawanan pertama Kumpulan H saingan Piala Dunia 2022 di Stadium Education City sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad Uruguay yang dikendalikan oleh Diego Alonso membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan gandingan dua penyerang berbisa, Darwin Nunez dan Luis Suarez.

Skuad Taeguk Warriors juga tidak ketinggalan meletakkan pasukan terbaik pada aksi kali ini dengan pemain sensasi Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengetuai pasukan selain kehadiran tonggak pertahanan Napoli, Kim Min-jae.

Wakil daripada Asia itu terlebih dahulu memiliki peluang untuk melakukan serangan tetapi percubaan yang dilakukan oleh Hwang Ui-jo pada minit ke-34 sedikit tersasar.

Pasukan La Celeste memperkemaskan serangan dengan percubaan pertahan veteran, Diego Godin sebelum penghujung babak pertama sekadar menggegarkan palang gol.

Bersambung pada babak kedua, tempo perlawanan kekal seimbang seperti separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan saling menunjukkan corak permainan berdisiplin khususnya di benteng pertahanan.

Pasukan Uruguay yang menduduki ranking ke-14 dunia terdesak untuk mencari gol kemenangan dan memasukkan penyerang veteran, Edinson Cavani dalam usaha mengutip tiga mata berharga.

Peluang terbaik mereka hadir pada masa kecederaan menerusi rembatan yang dilakukan oleh Federico Valverde tetapi palang sekali lagi menjadi penghalang ketika penjaga gol Korea, Kim Seung-gyu sudah pun tertewas.

Keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR