fbpx

Pendarahan paru-paru Nad Zainal berhenti, oksigen naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD Zainal sudah memberikan tindak balas positif terhadap rawatan dan ubat baharu yang diberikan doktor ketika ini.

PETALING JAYA – Keadaan pendarahan pada paru-paru pelakon Nad Zainal yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang Puteri sejak Isnin lalu sudah dapat dihentikan.

Rakan baiknya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz turut dimaklumkan doktor bahawa paras oksigen dalam darah Nad juga sudah mencecah bacaan 100 dengan bantuan alat pernafasan.

“Alhamdulillah, oksigen Nad sudah mencecah bacaan 100. Doktor akan cuba kurangkan kuasa bantuan alat pernafasan.

“Satu lagi perkembangan positif adalah berkenaan pendarahan pada paru-parunya yang sekarang sudah berhenti dan semakin mengering.

“Doktor juga maklumkan Nad memberikan tindak balas positif kepada rawatan dan ubat baharu yang diberikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Perkembangan terbaharu pelakon Dendam Seorang Isteri itu memberi kelegaan kepada semua apabila sebelum ini Nad dipercayai turut mengalami penyakit autoimun iaitu sistem imun menyerang sel atau tisu sendiri.

Pada masa sama, kata Ungku Ismail, doktor juga menyatakan masih menunggu perkembangan pemeriksaan susulan organ dalaman lain.

“Cuma doktor bimbang kemungkinan berlakunya jangkitan pada buah pinggang selepas mendapati kesan radang pada organ berkenaan.

“Mereka kini sedang menunggu pakar buah pinggang untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya lagi.

Ungku Ismail yang juga teman gandingan Nad dalam drama Cina Buta tidak ketinggalan memohon orang ramai terus mendoakan kesihatan rakannya itu.

“Saya harap semua orang dapat terus mendoakan Nad. Doakan semuanya okey dan tiada lagi komplikasi,” luahnya yang turut berada di hospital, semalam.

Sejak semalam, ramai rakan seperjuangan ibu kepada dua cahaya mata itu melawat di hospital termasuk Datin Paduka Umie Aida, Sharifah Shahirah, Sharifah Amani, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Nadia Aqilah, Sherry Alhadad dan Aliff Aziz.

Turut kelihatan adalah bekas suami Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, Faliq Amiruddin bersama dua anak mereka, Fahad Ibrahim, 6, serta Budi Kalsom, setahun.

Dalam media sosial, rata-rata selebriti dan peminat meninggalkan doa serta komen agar pelakon itu terus kuat berjuang melawan sakit.

Terdahulu, malam Isnin lalu aktres berusia 32 tahun yang dikejarkan ke unit kecemasan disahkan kritikal dipercayai akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), paru-parunya dipenuhi darah hingga perlu ditidurkan atau melalui rawatan intubasi supaya boleh rehat dan paru-paru kembali kering. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI