SEATLLE – Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menyifatkan Mesir sebagai lawan paling sukar yang akan dihadapi pasukannya dalam peringkat kumpulan sambil mengingatkan rakan sepasukannya agar berwaspada mengenai serangan balas pantas pasukan itu.
Belgium telah diundi bersama Mesir, Iran dan New Zealand dalam Kumpulan G dan kedua-dua pasukan itu bakal membuat perhitungan dalam aksi pertama peringkat berkenaan di Stadium Seattle awal pagi esok.
Courtois mengakui bahawa Belgium tidak mempunyai pilihan kecuali perlu memastikan perlawanan itu berakhir dengan tiga mata menjadi milik mereka sebagai langkah awal menuju ke pusingan 32.
“Kami kini memberi tumpuan kepada perlawanan pertama menentang Mesir dan berharap dapat memulakan kejohanan dengan kemenangan ke atas pasukan yang kuat kerana kami menganggap mereka lawan paling sukar dalam kumpulan,” kata Courtois.
Courtois turut memuji kapten Mesir, Mohamed Salah yang dijangka mengetuai The Pharaohs dalam perlawanan itu serta menekankan ancaman yang mampu diberikan oleh jentera serangan Mesir melalui serangan balas pantas.
“Salah adalah pemain yang hebat. Kami pernah bermain bersama di Chelsea. Kami akan berdepan sebuah pasukan yang mempunyai pertahanan yang kukuh. Kami perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka kerana mereka mampu menghukum lawan apabila diberi ruang,” jelasnya.
Sementara itu, Belgium juga mungkin sedikit lega menerima perkhabaran mengenai pemain sayap mereka, Jeremy Doku yang sebelum ini terpaksa meninggalkan sesi latihan lebih awal apabila mengalami kecederaan.
Doku dinilai tidak mengalami kecederaan serius dan mampu kembali menyertai sesi latihan penuh pasukan sekali gus menjadi sandaran skuad kendalian Rudi Garcia itu untuk menembusi benteng Mesir menerus sayap kanan. – AGENSI














