fbpx

Kerajaan negeri P. Pinang bentang bajet defisit RM467.12 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KON YEOW (tengah) selepas selesai membentangkan Bajet 2023 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2023 dengan defisit sebanyak RM467.12 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jangkaan defisit itu bertambah sebanyak RM17.32 juta berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM449.80 juta.

“Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2023 berjumlah RM522.35 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM989.47 juta, ia akan menjadikan Bajet 2023 mengalami defisit sebanyak RM467.12 juta.

“Namun mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta yang dijangka dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021.

“Jumlah keseluruhan rizab kerajaan negeri setakat akhir tahun 2021 adalah berjumlah RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2023 sejumlah RM989.47 juta merupakan peningkatan sebanyak RM54.25 juta berbanding tahun 2022.

”Antara punca utama peningkatan perbelanjaan mengurus tahun 2023 adalah berikutan pertambahan caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM40 juta, iaitu caruman sebanyak RM240 juta pada tahun 2023 berbanding RM200 juta pada tahun 2022,”katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2023 adalah berjumlah RM522,353,370 iaitu pertambahan sebanyak RM36.93 juta atau 7.61 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2022 sebanyak RM485.42 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI