fbpx

Dua lagu ke SFMM37, Amir Masdi takut, gemuruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIR Masdi mengakui berasa gemuruh kerana dua buah lagunya layak bertanding di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37).

KEMERIAHAN pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) kembali dihangatkan dengan pelbagai penyertaan genre lagu daripada barisan artis dan komposer hebat tanah air.

Lebih mendebarkan, pentas tersebut turut memberi tekanan berbeza kepada setiap yang bertanding termasuklah penyanyi muda berbakat besar, Amir Masdi yang pertama kali bersaing dengan penyertaan dua buah lagu.

Meskipun berasa teruja untuk berkongsi pentas dengan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Debu, Amir akui dia sedikit gementar untuk mempersembahkan karya solonya, Esok yang turut mara ke pentas SFMM37.

Menggalas tanggungjawab membawakan dua buah karya, Amir berpendapat setiap lagunya mempunyai kekuatan tersendiri hingga layak dipertandingkan bersama barisan penyanyi hebat lain.

“Sebenarnya saya sedikit takut dan gemuruh tetapi sangat teruja dapat tengok nama dan lagu sendiri dalam paparan skrin di hadapan ramai.

“Bagi saya, kedua-dua buah lagu mempunyai kekuatan berbeza. Lagu Esok mempunyai kelebihan pada lirik, manakala Debu pula dari sudut susunan muzik,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman SFMM37 baru-baru ini.

AMIR menitikberatkan aspek seperti tahap stamina, pemahaman lirik yang mendalam dan berjumpa dengan orang lebih mahir sebagai persediaan dalam SFMM37. 

Selain rasa teruja dapat membuat persembahan di pentas besar, Amir juga agak gementar melihat senarai lagu lain yang turut beraksi kelak.

Akan tetapi, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus menumpukan sepenuh perhatian bagi persembahan kedua-dua lagunya.

“Kesemua 28 buah lagu yang layak ke separuh akhir sangat menggerunkan saya kerana kebanyakannya ada pengalaman dalam Anugerah Juara Lagu (AJL). Masing-masing ada keunikan vokal tersendiri.

“Apa yang penting, saya akan fokus kepada diri sendiri untuk bagi sehabis baik. Kalau asyik fokus kepada orang lain takut lupa tentang diri sendiri,” tutur Amir.

Hasrat AJL

Berkongsi pengalaman berduet dengan penyanyi hebat seperti Dayang, Amir, 25, berasa mengakui dirinya sangat beruntung.

“Saya rasa sangat bertuah dapat berduet dengan penyanyi hebat seperti Dayang dan berpeluang belajar daripada pengalamannya.

“Perasaan saya lebih kepada teruja apabila dapat bekerja dengannya kerana dia sangat merendah diri dan terbuka menerima pendapat saya.

“Dia banyak memberikan ‘spotlight’ kepada saya dan menyalurkan aura positif hingga membuatkan saya lebih bersemangat,” kata penyanyi muda itu.

TUAH buat Amir apabila dua buah lagu nyanyiannya layak ke pentas SFMM37 yang akan berlangsung pada 25 dan 26 November ini.

Ibarat selangkah kaki sudah hampir menempah tiket ke pentas AJL, Juara Akademi Fantasia 2016 itu kini giat melakukan pelbagai inisiatif demi memberikan persembahan terbaik pada SFMM37.

Amir mengadakan sesi latihan bersama Dayang untuk mendapatkan lebih keserasian di atas pentas.

“Semestinya saya meletakkan harapan tetapi tidak setinggi gunung. Kalau kedua-dua buah lagu dapat sampai ke pentas AJL sudah cukup baik.

“Untuk lagu duet, saya ada berjumpa Dayang untuk membuat latihan.

“Kami lebih bertolak ansur dalam Debu untuk mendapatkan tumpuan masing-masing. Saya berharap dapat membina keserasian dan mempunyai emosi yang sehaluan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI