SETIAP kali mengenangkan peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu itu, pasti membuatkan bulu roma Intan (bukan nama sebenar) meremang.
Percutian sempena kejayaan Intan dan rakan-rakan menamatkan pengajian dengan cemerlang di sebuah resort di Bali, Indonesia bertukar menjadi memori hitam kepadanyaIni kerana, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai gangguan dan situasi mistik sepanjang percutian tersebut.
Bahkan, anak kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu menjadi takut untuk masuk ke tandas terutamanya pada waktu malam sejak saat itu.
Kata Intan, dia sering merasakan seolah-olah dirinya diperhatikan oleh ‘seseorang’.
“Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mengamalkan kehidupan moden. Kami tidak begitu percaya perkara-perkara mistik dan menganggap ia mengarut.
“Tetapi apabila perkara ini berlaku di depan mata saya, barulah saya sedar ia benar-benar wujud,” katanya memulakan bicara.
Berkongsi kepada Panorama, wanita berusia 24 tahun itu berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika dia bersama tiga rakan wanitanya bercuti di Bali.
Mahu menikmati keindahan bumi orang dan percutian santai, mereka sepakat untuk memilih Bali sebagai lokasi percutian.
Tambahan pula, sejak melanjutkan pengajian, mereka berempat begitu teringin menjejakkan kaki ke sana.
Ia hasil daripada pengaruh media sosial dan selebriti-selebriti yang memuat naik gambar percutian mengasyikkan di pulau berkenaan.
Disebabkan bajet yang agak ketat, Intan dan rakan-rakan memilih untuk menginap di sebuah resort di dalam hutan iaitu tidak jauh dari Pantai Kuta.
Bukan sahaja murah dan memiliki persekitaran yang estetika serta bersifat instagramable, resort berkenaan juga menawarkan sajian sarapan di dalam kolam renang seperti yang sedang popular pada waktu itu.
“Kisah seram dan gangguan bermula sebaik melawat salah satu kuil di sana. Kami tiba di resort berkenaan agak lewat iaitu selepas selesai makan malam.
“Ketika ingin memasuki resort itu, saya terdengar bunyi salakan anjing yang agak kuat. Kami berpandangan dan ketakutan kerana bimbang akan dikejar haiwan tersebut.
“Tidak mahu apa-apa berlaku, kami mengambil keputusan untuk berjalan dengan tenang sehingga selamat tiba di bilik,” ujarnya.
Menurut Intan, bunyi salakan anjing itu tidak henti-henti sehingga subuh menjelma. Sempat berbual dengan penjaga resort tersebut, Intan diberitahu bahawa tiada anjing mahupun bunyi salakan didengari mereka seperti yang didakwa gadis itu.
Tidak memikirkan sesuatu yang aneh, Intan dan rakan-rakan menikmati percutian pada hari kedua seperti biasa.
Sama seperti hari pertama, dia hanya pulang ke resort tersebut apabila malam menjelma iaitu selepas selesai melawat tempat-tempat menarik di sekitar Bali.
Tiada lagi bunyi anjing, gadis itu diuji pula dengan salah seorang rakannya dirasuk.
Bermula dengan bunyi hilaian tawa yang didengari ketika mereka berendam di dalam kolam renang resort, salah seorang rakannya kemudian mula berkelakuan aneh dan duduk dalam posisi mencangkung di salah sebuah bangku di situ.
Kaget dengan insiden yang dilihatnya itu, Intan sempat membaca ayat-ayat suci al-Quran yang diketahuinya sebelum mereka dibantu oleh pekerja resort yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
“Detik itu memang sangat cemas kerana masing-masing tidak pernah berhadapan dengan insiden menakutkan itu. Rakan saya seratus peratus berubah menjadi ‘individu’ lain.
“Tidak pasti apa yang membuatkan tubuhnya mula longlai seakan pengsan. Kami kemudian memapahnya masuk ke dalam bilik tidur. Kami sangka gangguan tersebut terhenti di situ, sebaliknya telahan itu meleset sama sekali selepas seorang lagi rakan saya pula menjerit ketakutan apabila terlihat kelibat lembaga besar tidak bertubuh.
“Biarpun dia menjerit seakan seperti terkena histeria, tetapi kami bersyukur kerana dia mampu mengawal dirinya daripada terus dirasuk,” tambahnya.
Pada awalnya, mereka menempah untuk bermalam di resort tersebut selama empat malam. Disebabkan gangguan dialami itu, Intan dan rakan-rakan nekad untuk keluar dari resort tersebut pada keesokan harinya.
Kata Intan, kegembiraan mereka berempat bercuti terbantut serta-merta disebabkan insiden yang berlaku itu.
“Rakan saya beritahu, mungkin lokasi resort berkenaan yang tersorok jauh ke dalam hutan menyebabkan ia agak ‘keras’. Ditambah pula dengan patung-patung yang dijadikan sebagai perhiasan resort ini.
“Tetapi pekerja di situ berkata, mungkin ia disebabkan kesalahan kami sendiri yang melanggar pantang larang resort seperti membuat bising pada lewat malam dan mandi di kolam renang biarpun hari sudah lewat,” tutupnya.














