fbpx

Kek kahwin Putera William, Kate berusia 11 tahun bakal dilelong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cairns mengambil masa selama dua hari untuk menghasilkan kek ini bersama pasukannya. – Getty Images

LONDON – Sepotong kek perkahwinan Putera dan Puteri Wales, William dan Kate Middleton yang berusia 11 tahun bakal dilelong pada harga dijangka mencecah ratusan pound sterling, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Turut akan dilelong adalah sepotong kek perkahwinan Raja Charles III dan isterinya, Queen Consort Camilla yang berusia 17 tahun.

Kedua-dua potongan kek itu diramal dijual pada harga £400 hingga £600 (RM2,165 hingga RM3,248) setiap satu dalam satu acara lelongan di Norfolk pada 23 November ini.

William dan Kate melangsungkan perkahwinan di gereja Westminster Abbey pada 29 April 2011 dengan majlis resepsi diadakan di Istana Buckingham.

Kek buah-buahan lapan tingkat yang dihidangkan pada hari bersejarah itu dihasilkan oleh pereka kek dari Leicestershire, Fiona Cairns.

Sementara itu, kek perkahwinan Raja Charles dan Camilla pula dihasilkan oleh pemilik kedai kek Sophisticake dari Lincolnshire, Dawn Blunden.

Pasangan itu berkahwin pada 9 April 2005 dengan majlis resepsi berlangsung di apartmen negara Istana Windsor.

“Dengan kenaikan takhta Raja Charles serta Putera William yang kini menjadi Putera Wales, minat terhadap memorabilia diraja amat tinggi ketika ini. Kami menjangkakan bidaan pantas untuk kedua-dua potongan kek ini,” kata Pengarah Keys Auctioneers, Tim Blyth.

Turut akan dilelong pada acara lelongan tiga hari itu termasuk kad ucapan Krismas Raja Charles dan mendiang Puteri Diana, album yang mengandungi gambar-gambar mendiang Ratu Elizabeth II dan suaminya, Putera Philip serta beberapa ahli keluarga diraja yang dijangka mencapai harga antara £300 to £400 (RM1,622 hingga RM2,165). – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI