fbpx
Pilihlah calon Parlimen dan DUN yang memberi mudarat paling kurang kepada masyarakat serta negara secara perbandingan. – Gambar hiasan

7 ciri calon tidak boleh diundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Soalan: Hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung esok dengan melibatkan calon daripada pelbagai parti. Menurut Islam, bagaimanakah ciri-ciri calon yang tidak sepatutnya dipilih?

Jawapan:
Pada asasnya, perkara yang dituntut oleh Islam adalah melantik yang berkelayakan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 58: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia, maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.”

Siapakah yang layak? Bagi menjawab perkara ini mestilah merujuk kepada jenis jawatan diberikan dan ruang tugasan yang akan dijalankan. Ia merupakan perkara ijtihad kehidupan yang kita boleh berbeza pandangan mengenainya. Cumanya secara umum al-Quran menyebut: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja adalah al-Qawiy (yang kuat) lagi al-Amin (yang beramanah).” (Surah al-Qasas:26)
Kuat merujuk kepada keupayaan menunaikan tugasan tersebut. Sementara amanah adalah kualiti atau nilai kejujuran yang ada dalam diri seseorang.

Di sini saya sebut ciri-ciri calon yang tidak boleh diundi menjadi ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana itu bererti memberikan kuasa kepada mereka yang tidak layak dan merosakkan masyarakat. Calon-calon yang tidak boleh diberikan undi:-

1- Calon yang telah menzahirkan permusuhan dengan Islam. Sikap anti-Islam itu boleh dilihat atau dikesan melalui kenyataan dan tindakan yang pernah dibuat sebelum ini.

Allah menyebut dalam al-Quran, Surah Ali ‘Imran ayat 118: “Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan daripada kalangan kamu menjadi bitanah (orang penting yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulut mereka dan apa yang dada mereka sembunyikan itu lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) berakal.”
Dalam konteks kehidupan bernegara pula, golongan ini tidak akan mewujudkan ketenteraman, sebaliknya akan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat yang boleh membawa huru-hara dan merosakkan keharmonian hidup bernegara. Memilih mereka bererti mengkhianati agama dan negara

2- Calon yang jelas menyokong pihak memusuhi Islam sekalipun dia mendakwa dirinya seorang Muslim.

Ini adalah golongan yang munafik. “Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang perit; (139) (Iaitu) Mereka yang mengambil golongan kafir (anti-Islam) menjadi teman setia dengan meninggalkan mereka yang beriman.

Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari izzah (kekuatan dan kemuliaan) di sisi orang-orang kafir itu, padahal sesungguhnya izzah (kekuatan dan kemuliaan) itu semuanya milik Allah.
Sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain. Sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.”

Kesan mengundi mereka ini hampir sama dengan yang pertama.

 

3-Calon yang ada rekod rasuah atau salah guna kuasa dan menzahirkan kesediaan atau kelihatan berpotensi untuk terlibat dengan rasuah serta salah guna kuasa.
Calon-calon seperti ini termasuk dalam golongan yang zalim. Mengundi mereka bererti memberikan kuasa kepada orang yang akan membuat zalim kepada negara. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka.”
Sabda Nabi SAW: “Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat daripada kemurkaan Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah.” (Riwayat Malik dan al-Tirmizi).
Kalimat itu mampu membawa kesan besar dalam konteks negara seperti undi dalam pilihan raya kerana ia akan menyebabkan seseorang boleh mendapat mandat atau kuasa yang boleh membawa kezaliman kepada rakyat. Maka, setiap orang hendaklah berfikir kesan undi yang diberikan kepada seseorang calon terhadap negara dan rakyat.

4- Calon yang menzahirkan sikap zalim dalam pengurusan atau pentadbiran kerana mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan puak atau bangsa tertentu.
Calon-calon yang mempunyai rekod seperti ini atau cenderung kepada sikap seperti ini tidak boleh diundi kerana mereka termasuk dalam golongan zalim. Demikian juga calon-calon yang bersikap perkauman, sectarian dan fanatik kepada sesuatu aliran sehingga cenderung untuk berlaku ketidakadilan serta kezaliman ke atas pihak lain. Firman Allah Surah al-Maidah, ayat 8: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu membawa kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

5- Mempunyai rekod perkhidmatan yang buruk.
Ini seperti calon yang selalu ponteng Parlimen, tidak memperdulikan tugasnya, gagal menyampaikan hasrat rakyat di kawasannya, sukar berkhidmat, sombong dan sebagainya. Sabda Nabi SAW: “Seorang mukmin tidak disengat dari satu lubang sebanyak dua kali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6- Zahir tanda tidak berkeupayaan untuk menjalankan peranannya.
Ini boleh dilihat dari segi keterampilan diri calon, latar pendidikan, usia dan kesihatan. Rekod ketidakupayaan yang lalu seseorang calon juga boleh dinilai. Dalam konteks politik di negara ini, seseorang yang dipilih ke Parlimen atau DUN mesti berupaya menunaikan skop tugasan berkaitan. Jika mengundi seseorang yang kita tahu atau percaya tidak mampu menunaikan tugas tersebut bererti kita telah melakukan pengkhianatan. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain), maka dia telah mengkhianatinya.” (Riwayat Abu Daud, dinilai sebagai hasan).

7- Mempunyai latar suka berbohong. Ini dapat dikesan dengan melihat kepada latar diri calon sebelum ini seperti menipu menggunakan nas-nas agama, menipu dalam perniagaan, menipu sijil, menipu di tempat kerja, menipu orang lain dalam berurusan dan seumpamanya. Nabi SAW menyebut bahawa pembohongan akan membawa kepada kejahatan dan kejahatan akan membawa kepada neraka. Melantik pemimpin yang suka berbohong hanya akan merosakkan negara. Sabda Nabi SAW: “Jauhilah kamu daripada berbohong. Sesungguhnya pembohongan membawa kepada kejahatan. Sesungguhnya kejahatan membawa kepada neraka. Seseorang itu selalu berbohong dan berusaha untuk berbohong sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai pembohong.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah lafaz Muslim).

Jika senarai calon yang ada pada sesuatu tempat itu semuanya termasuk dalam yang disebutkan di atas, pengundi hendaklah mengkaji kadar bahaya atau mudarat setiap calon yang ada.
Kemudian, dia mengundi yang paling kurang mudarat antara mereka secara perbandingan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN