fbpx

Mahkamah: Pegawai Baitulmal didenda RM15,000 terima baki peruntukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEREMBAN, 16 NOVEMBER 2022 - MOHD. Hasbollah Ahmad (baju hitam, rambut panjang) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang baki peruntukan program bantuan hari raya kepada asnaf. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Seorang bekas Pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah dijatuhi hukuman denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya kepada asnaf, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hasbollah Ahmad, 39, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Sejurus pengakuan direkodkan, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM15,000 jika gagal bayar boleh dipenjara empat bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Baitulmal Daerah Kuala Pilah didakwa telah menerima sejumlah wang tunai iaitu baki peruntukan yang diluluskan untuk kerja pembekalan program bantuan hari raya.

Ia berupa cenderahati kepada asnaf daripada pihak syarikat Al Baiquni Enterprise yang mana tertuduh mengetahui bahawa syarikat tersebut ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi serta mempunyai kepentingan dengan dirinya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Tampin pada Jun 2017.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad  Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman yang tinggi ke atas tertuduh sebagai pengajaran.

“Kesalahan tertuduh melibatkan pengurusan wang asnaf yang perlu diurus dengan baik tetapi sejumlah wang telah dimasukkan ke akaun bank miliknya dan baki wang tidak dapat dijelaskan ke mana,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd. Hasryzal Badasary yang mewakili tertuduh merayu hukuman yang ringan dikenakan ke atas anak guamnya yang telah insaf dan kini mengalami masalah kewangan selepas diberhentikan kerja.

“Tertuduh mempunyai seorang  isteri dan dua orang anak selain menjaga ibu bapanya.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia memohon maaf atas kesilapannya. Kini tertuduh bekerja sebagai peniaga untuk menyara keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI