fbpx

Tiada rakyat Malaysia terlibat kejadian letupan di Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik memeriksa lokasi kejadian letupan di Istanbul, semalam. – AFP

PUTRAJAYA – Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden pengeboman di bandar raya itu semalam.

Menerusi kenyataan dalam laman sosial rasminya, pihak konsulat berkenaan menambah, mereka turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Konsulat Jeneral Malaysia berkeyakinan bahawa pihak berwajib di Istanbul akan menahan suspek dan membawa penjenayah itu ke muka pengadilan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, satu letupan berlaku di Istiklal Avenue, laluan popular dalam kalangan pelancong asing di sekitar Dataran Taksim, Daerah Beyoglu yang mengakibatkan kematian enam orang pejalan kaki.

Insiden pengeboman itu dilaporkan pada pukul 4.20 petang waktu Turkiye (9.20 malam tadi waktu Malaysia) dan turut mengakibatkan seramai 81 individu yang lain mengalami kecederaan.

Tiada kumpulan tertentu yang mengaku bertanggungjawab namun laluan tersebut pernah jadi sasaran pengganas Daesh dan pemberontak Kurdish masing-masing pada 2015 dan 2016.

Mengulas lanjut, Konsulat Jeneral Malaysia bagaimanapun terus mengingatkan rakyat negara ini agar berwaspada dengan keadaan sekeliling dan mengelakkan tempat yang penuh sesak.

“Kami turut merakamkan perasaan simpati dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa serta berharap mereka yang cedera akan dapat segera sembuh semula,” katanya.

Warga Malaysia yang memerlukan segera bantuan konsular boleh berhubung terus dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia melalui talian am +90 212 989 1001 atau +90 536 289 6788.

Mereka juga boleh menghubungi talian kecemasan selepas waktu pejabat iaitu +90 551 711 2174 atau +90 553 897 9767 selain mengutus emel terus kepada [email protected]! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI