fbpx

‘Saya nampak kepala ibu, bayi terbenam dalam pasir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SAZWAN memangku bayinya yang dihempap pokok di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka kelmarin.

MELAKA – Kegembiraan sebuah keluarga bercuti di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini kelmarin, bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka maut akibat dihempap pokok ru, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian berkenaan.

Muhammad Zafran Ilman Mohd. Sazwan berusia setahun lima bulan maut selepas kira-kira enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, ibu Muhammad Zafran, Nurulhuda Md. Ali ce­dera ringan di bahagian kepala.

Ketika kejadian, Nurulhuda sedang mendukung Muhammad Zafran sebelum secara tiba-tiba sebatang pokok ru menghempap mereka dan menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus ke dalam pasir.

Pada masa berkenaan, suami Nurulhuda bersama dua anak­nya sedang mandi di pantai.

Seorang saksi, Mohamad Saiful Mohamad Ali, 35, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di kedai berhampiran sebelum terdengar bunyi patah dan melihat sebatang pokok ru telah menghempap wanita dan bayi.

Katanya, dia dan tujuh individu lain mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan wanita berkenaan yang tertimbus sedalam kira-kira satu meter, manakala anaknya tercampak dan turut tertimbus.

“Melihat kejadian itu, suami mangsa yang sedang mandi menjerit meminta kami menyelamatkan isterinya yang dihempap.

“Kami cuba mengangkat dahan pokok tetapi ia terlalu berat, jadi kami korek pasir untuk membolehkan wanita yang kepalanya berdarah bernafas, anaknya juga tertimbus tetapi tidak sedalam ibunya dan berjaya dikeluarkan lebih awal.

“Selepas dikeluarkan, wanita itu masih mampu bercakap dan bertanyakan mengenai anaknya. Mujur ramai yang membantu, jika tidak mungkin perkara lebih buruk boleh berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Sabarudin Mahmud, 56, memberitahu, dia turut dihempap dahan pokok ru di kawasan itu bulan lalu dan telah beberapa kali membuat aduan mengenainya.

“Kesan luka akibat kejadian malang itu masih ada lagi, tidak sangka pula semalam ia me­nimpa sebuah keluarga sehingga meragut nyawa.

“Kami penduduk di kawasan ini banyak kali buat aduan kepada pihak berkuasa, namun mereka hanya tebang sebatang atau dua pokok sahaja, yang lain tidak dicantas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI