fbpx

PRU15: Pengundi PH dalam dilema undi saya – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) bersama Khairy Jamaluddin (kanan) di Uptown Kota Damansara hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan sebahagian besar pengundi Pakatan Harapan sedang dalam dilema untuk memberi sokongan terhadapnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu berkata, pengundi Sungai Buloh dilihat lebih bersikap terbuka pada PRU kali ini dan ada di antara mereka masih belum memutuskan calon pilihan.

“Orang Sungai Buloh mahu terbuka, mungkin ada di antara mereka belum putuskan jadi penting untuk kita dekati mereka yang belum buat keputusan.

“Banyak yang belum buat keputusan lagi terutama sekali mereka yang di dalam dilema sekarang ini, mereka kata mereka mahu beri kepada KJ tetapi mereka secara tradisi pengundi PH.

“Sungai Buloh akan beralih sokongan terhadap BN, sama ada mereka hendak sokong saya dan beri saya undi kali ini tetapi terdapat angin perubahan di Sungai Buloh tiga pengal bawah PH,” katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan KJ, di Uptown Kota Damansara, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, banyak keperluan asas yang perlu diselesaikan dan dibangunkan di Sungai Buloh.

“Ramai pengundi mahukan seseorang yang kuat personalitinya dan mempunyai ‘platform’ kukuh yang boleh menarik perhatian pihak tertentu ke atas masalah mereka hadapi.

Jelas Khairy Jamaluddin, beliau kini menjadikan akaun media sosialnya sebagai bahan utama untuk berkempen dan mendekati pengundi Sungai Buloh.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin mengakui agak sukar untuk menyantuni pengundi di kawasan perumahan berpagar dan dikawal petugas keselamatan sepanjang tempoh berkempen.

“Saya bekerja keras, saya pilih Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter untuk berkempen, dekati pengundi Sungai Buloh.

“Berbaki empat hari lagi, saya bersama jentera BN akan terus mendekati pengundi Sungai Buloh sebelum tarikh mengundi Sabtu ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI