FENOMENA musim tengkujuh atau turut dikenali sebagai musim monsun sudah sinonim dengan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Kejadian hujan lebat dalam tempoh yang panjang dan kadangkala disusuli dengan ribut yang melanda negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan itu adalah berpunca daripada peralihan tiupan angin monsun iaitu Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.
Kebiasaannya, apabila berlaku musim tengkujuh, sebahagian besar aktiviti yang melibatkan pantai dan laut seakan terhenti dan menjadi ‘sendu’ kerana dianggap berbahaya terutama kepada nelayan dan para pengunjung pantai.
Namun, bagi Ahmad Fadhlullah Ahmad Sukri, 31, musim tengkujuh merupakan waktu yang sangat dinanti-nantikan kerana ketika itulah satu aktiviti rekreasi yang digemarinya akan berlangsung.
“Sejak lima tahun lalu, saya sudah menyertai aktiviti perkhemahan Monsoon Camp atau Kem Monsun yang diadakan pada musim tengkujuh terutama di Terengganu.
“Sebagai peminat aktiviti perkhemahan, saya tidak kisah untuk bermalam di dalam khemah pada musim hujan lebih-lebih lagi di kawasan pantai.
“Malah, apabila dapat tahu tahun ini ia akan dianjurkan di Pahang, saya telah awal-awal lagi mendaftar sebagai peserta kerana tidak mahu terlepas peluang menyertainya,” katanya kepada Panorama.
Ahmad yang berasal dari Bandar Tun Razak, Jengka, Pahang berkata, sejak kali pertama program itu dianjurkan pada tahun 2017 sehingga kini, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertainya.
Tambahnya, tahun ini merupakan kali keempat dia mengikuti aktiviti santai tersebut bersama rakan- rakannya dan jelasnya, penganjuran kali ini dianggap paling meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Monsoon Camp 4.0 yang berlangsung di Pantai Balok, Kuantan, Pahang pada 4 hingga 6 November lalu merupakan aktiviti santai yang dianjurkan bersama oleh kelab rekreasi Adipati Bertiga,
Pasor Dinda dengan sokongan kelab permotoran Mutohead, TEVA Malaysia, Boom+ dan Anbot sebagai penaja utama.

Berkonsep perkhemahan santai musim tengkujuh, ia bukan saja melibatkan aktiviti perkhemahan oleh para peserta dan golongan peniaga, tetapi turut menyelitkan aktiviti-aktiviti sampingan yang menghimpunkan anak-anak muda dan golongan berkeluarga.
Ia termasuk sukan permotoran pantai, bola tampar pantai, papan selaju, demonstrasi luncur air selain aktiviti membersih kawasan pantai.
Objektif utama penganjurannya adalah bagi menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan peminat sukan rekreasi selain memberi manfaat kepada penduduk setempat dari sudut ekonomi.
Penganjur program Monsoon Camp 4.0, Abdul Rahman Mohamad ketika ditemui berkata, program kali ini disifatkan paling besar pernah dilaksanakan pihaknya berbanding tiga siri sebelum ini.
Jelasnya, ketika kali pertama dilaksanakan pada 2017 di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu, ia hanyalah aktiviti berskala kecil yang menghimpunkan peminat aktiviti luncur air yang terdapat di sekitar negeri Terengganu dan Pahang sahaja.
“Ketika itu, saya hanya membuka penyertaan kepada komuniti peluncur air di dua negeri ini saja dengan tujuan untuk menghimpunkan komuniti ini dalam satu acara yang lebih teratur.
“Disebabkan terdapat permintaan daripada ramai pihak, maka pada penganjuran kali kedua yang diadakan pada 2019 di lokasi sama, saya mula membuka penyertaan kepada peserta dari luar Pantai Timur.
“Pada siri ketiga Monsoon Camp yang berlangsung pada tahun 2020 di Pantai Teluk Bidara, Dungun pula, beberapa aktiviti tambahan diperkenalkan bagi memberi peluang lebih ramai peserta dan pengunjung turut sama melibatkan diri dan berseronok,” katanya.
Jelas beliau lagi, secara umumnya penganjuran program Monsoon Camp bertujuan memupuk semangat kerjasama antara komuniti dan belia melibatkan vendor tempatan, kelab rekreasi, kelab permotoran dan lain-lain.
Mengulas lanjut mengenai Monsoon Camp 4.0, Ahmad memberitahu, pada tahun ini dianggarkan seramai hampir 15,000 pengunjung telah hadir ke lokasi program.
Membuat program di tepi pantai pada musim tengkujuh, pihaknya amat menitikberatkan aspek keselamatan apabila turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan, polis selain menyediakan pasukan perubatan kecemasan.
Jelasnya lagi, berbeza dengan penganjuran tiga siri sebelum ini, Monsoon Camp 4.0 mengetengahkan konsep santai di mana para pengunjung diberi peluang untuk turut berkhemah di ruang khas yang disediakan di kawasan tapak program.
Malah katanya, kesemua peniaga terlibat turut digalakkan untuk memasang khemah bagi menepati tema program yang diterapkan pada penganjuran kali ini.
“Jika pada penganjuran sebelum ini, para pengunjung lebih memilih untuk menginap di hotel atau inap desa, tetapi kali ini kami galakkan pengunjung dan peserta untuk berkhemah di tapak program.
“Alhamdulillah, lebih 60 buah khemah telah memenuhi ruang penganjuran dan ia benar- benar menggambarkan suasana santai.
“Penyertaan para pengunjung dalam aktiviti disediakan juga sangat baik apabila mereka turut menyertai pertandingan-pertandingan yang diadakan,” katanya.
Jelas Ahmad lagi, antara tarikan utama lain yang menarik minat orang ramai berkunjung ke program berkenaan adalah ruang niaga yang menawarkan pelbagai produk kraf, barangan antik, kelengkapan perkhemahan, rekreasi dan lain-lain.
Malah katanya, salah satu acara utama yang ditunggu-tunggu para pengunjung ialah persembahan pentas oleh 12 kumpulan muzik terkenal tanah air.
“Antara kumpulan muzik yang dijemput bagi program Monsoon Camp 4.0 kali ini termasuk OAG, Plaque of Happiness, Margasatwa, Unfriend, MBEX & The Souljah, Jemson dan Love as Arson.
“Walaupun hujan turun pada hari penganjuran, para pengunjung seakan tidak berganjak sekali gus menunjukkan semangat tinggi untuk memeriahkan suasana,” katanya.













