PUTRAJAYA – Pemilihan pemimpin dari kalangan individu yang berintegriti akan menyumbang kepada pembangunan sebuah negara, bangsa dan tamadun yang hebat.
Itu ingatan diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada lebih 900 anggota dan pegawai imigresen yang hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini hari ini.
Hamzah yang juga calon kerusi Parlimen Larut berkata, ingatan itu diberikan beliau memandangkan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pegawai imigresen supaya membuat pilihan yang bijak.
“Pemimpin yang berintegriti akan memastikan khazanah serta ekonomi negara ditadbir urus dengan penuh amanah dan harus diingatkan bahawa integriti adalah prasyarat kepada sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.
Katanya, apa yang disampaikan beliau itu adalah sesuatu untuk difikirkan bersama demi agama, bangsa dan negara.
Hamzah berkata, salah memilih pemimpin akan meletakkan negara dalam keadaan paling runcing.
“Tidak lama lagi kita akan bersama-sama memilih dan menentukan masa depan negara,” katanya.-KOSMO! ONLINE















