fbpx

Percutian suasana ala kampung di Chalet Deruan Ombak, Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWAR SEROJA dan suami, Mohd. Azam mendapat bantuan kewangan AIM bagi menampung kos operasi yang tinggi sewaktu industri pelancongan terjejas teruk akibat pandemik.

MASJID TANAH – Menikmati air kelapa yang dikait sendiri sambil disapa angin Selat Melaka, menjadi pengalaman mendamaikan bagi penghuni kota yang mahukan suasana percutian ala kampung.

Lebih menarik jika ada rezeki pelawat berpeluang melihat penyu karah yang mendarat untuk bertelur di pantai.

Begitulah, suasana untuk menggambarkan keunikan Chalet Deruan Ombak di Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka yang menawarkan pengalaman percutian ala kampung.

Pemilik Chalet Deruan Ombak, Mawar Seroja Minhat berkata, dia dan suami, Mohd. Azam Jamlus mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menguruskan perusahaan berkenaan kerana mencari kedamaian selain lari daripada hiruk-pikuk kesibukan di kota batu.

Menurutnya, ramai dalam kalangan pelawat menginap di chalet mereka mahukan suasana kampung.

“Sekeliling chalet ditanam dengan pelbagai tumbuhan seperti pokok herba, jika mahu guna mereka boleh petik saja. Senang cerita, pelawat mahu suasana seperti berada di rumah sendiri di kampung.

“Lebih istimewa kami juga ada pokok mengkuang. Sebelum ini kami ada sediakan pakej untuk pelancong luar negara belajar membuat anyaman menggunakan daun mengkuang dan mencanting batik, semua ini adalah antara usaha mempromosikan kesenian kraftangan tempatan kepada dunia luar,” katanya.

Mawar Seroja yang juga bekas penganalisa kewangan berkata, mereka bukan sekadar menawarkan percutian ala kampung, lokasi chalet yang berhampiran pantai bersih juga membolehkan pelawat berkhemah dan menganjurkan majlis seperti sambutan hari jadi dalam keadaan selesa.

Bagi pencinta haiwan, mereka boleh berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting untuk melihat sendiri usaha memulihara penyu karah yang terletak tidak jauh dari chalet berkenaan atau membeli ikan segar di pengkalan nelayan berhampiran.

Jelasnya, dengan lapan unit apartmen, dua unit inap desa dan empat chalet, Chalet Deruan Ombak bersedia menerima kunjungan orang ramai yang inginkan percutian dalam suasana kampung.

“Sebenarnya semua ini berlaku tanpa dirancang, bermula dengan pembinaan rumah rehat untuk keluarga pada 1996, kemudian kami tambah beberapa bilik dan diikuti pembinaan apartmen.

“Kejayaan hari ini adalah sokongan ramai pihak khususnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu dalam menambah baik perkhidmatan dan kemudahan demi memastikan pelawat berasa selesa serta puas dengan perkhidmatan disediakan.

“Syukur sedikit demi sedikit kami terus maju, meskipun kos operasi agak tinggi, namun bantuan daripada AIM amat melegakan,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan merancang percutian, mereka yang berminat boleh melayari laman web www.chaletderuanombakv2.blogspot.com, selain platform media sosial Facebook Chalet Deruan Ombak dan Instagram Chalet Deruan Ombak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI