fbpx
Hamzah ketika bercakap pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Berjasa JIM di Kompleks D, Putrajaya di sini, hari ini.- FOTO/ FAISOL MUSTAFA

Biar SPRM siasat dahulu laporan ke atas Rafizi – Hamzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu butiran aset Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan kepada SPRM untuk menyiasat isu itu, namun akan bekerjasama jika diperlukan kelak.

“Kalau satu agensi ambil tindakan, maka biar satu agensi dahulu yang ambil tindakan.

“Kalau sudah banyak sangat masuk (siasat) nanti jadi ‘rojak’. Biarlah satu dahulu. Bila diperlukan baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.

Semalam, SPRM memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan calon Parlimen Pandan itu.

Ia adalah susulan satu laporan yang dibuat Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (PJPNM) kepada SPRM semalam berhubung pengisytiharan harta oleh Rafizi yang didakwa mengelirukan.

Sebelum ini, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta yang mana RM16 juta daripadanya diperoleh menerusi Invoke Sdn. Bhd. (Invoke).

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, setakat 10 November lalu, sebanyak 92 kes dilaporkan di seluruh negara berkaitan kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti setiap kesalahan berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Maklum sahaja kadangkala berlaku perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya dalam tempoh kempen pilihan raya ini. Ia bukan hanya merangkumi Akta Kesalahan Pilihan Raya, tetapi segala perkara lain yang boleh kita ambil tindakan.

“Buat masa ini, kita buat siasatan dahulu baru kita buat tangkapan. Kita tidak tangkap orang kalau tidak melakukan kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR