fbpx

Pemilikan tanah Kampung Baru, Khalid digesa tunjuk kelulusan jemaah menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari bercakap pada sidang akhbar selepas sesi beramah mesra bersama penduduk setempat di sekitar Kampung Pandan sempena kempen beliau untuk PRU15 di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR- Pakatan Harapan (PH) digesa untuk menunjukkan butiran mesyuarat yang didakwa diluluskan jemaah menteri ketika era pemerintahan parti itu bagi pengambilan tanah di Kampung Baru dengan penawaran harga sebanyak RM1,000 kaki persegi.

Penjelasan itu dituntut Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas bekas Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad mendakwa tawaran pemilikan tanah itu telah dipersetujui jemaah menteri ketika pemerintahan PH.

Menurut Johari, Khalid perlu menjelaskan butiran mengenai kelulusan jemaah menteri PH seperti tahun diluluskan serta bilakah perkara itu dibentang kepada kabinet kerajaan terdahulu.

“Kalau ada jemaah menteri lulus, saya mahu dapatkan kepastian daripada kerajaan, benarkah Khalid membuat penawaran kepada penduduk Kampung Baru sebanyak RM1,000 kaki persegi. Kalau Khalid sudah lulus, kerajaan sudah kena beli.

“Saya difahamkan, ada orang nak jual RM1,000, tetapi dia (Khalid) tidak mahu beli, dia mahu semua orang setuju baru mahu beli. Ini tawaran yang temberang,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan kepada pengundi di Kampung Pandan di sini tadi.

Katanya, sekiranya jemaah menteri telah meluluskan pembelian tanah itu, ia bermakna kerajaan sudah bersedia untuk membelinya termasuk daripada segi kewangan.

“Itu sebab, dia cakap pusing-pusing, bila saya tanya, menteri sudah lulus. Ini bermakna, bila jemaah sudah lulus, kerajaan sudah bersedia untuk beli.

“Tetapi, bila ada orang bersedia mahu jual, (kamu) kena belilah. Masalah dia cakap tidak boleh pula, nak beli kena seratus peratus, ini bermakna tawaran itu tidak logik,” jelasnya.

Terdahulu, Khalid yang juga calon PH bagi Parlimen Titiwangsa mendakwa tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru sudah dilaporkan dalam kabinet, malah telah diumumkan secara terbuka.

Pada masa sama, Khalid juga mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) merupakan antara agensi bersetuju membiayai transaksi itu.

Lantaran itu, Johari turut mempersoalkan kesediaan keempat-empat agensi itu yang bersetuju membiayai penawaran pemilikan tanah di Kampung Baru berikutan tidak pernah mendengar maklumat berhubung perkara itu.

“Bila Khalid kata LTAT bersetuju mahu beli tanah, saya tidak pernah dengar agensi terbabit setuju untuk bagi duit. Boleh semak dengan lembaga pengarah, tidak ada seorang daripada mereka bersetuju.

“Bila buat tawaran daripada seorang menteri, ia mesti bertanggungjawab, jangan buat tawaran kalau dia sendiri tidak faham apa yang ditawarkan. Kabinet tidak pernah lulus, dia pusing- pusing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI