fbpx
SEORANG penyamun melibas-libas parang kepada salah seorang mangsa ketika merompak sebuah klinik gigi di Bandar Seri Putra, Bangi kelmarin.

Rompakan berparang di klinik gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Seorang doktor gigi wanita dan tiga pembantunya melalui detik lima minit pa­ling mencemaskan dalam hidup mereka apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah klinik di Bandar Seri Putra, Bangi di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 12.48 tengah hari itu berlaku apabila pekerja klinik tersebut membenarkan penyamun berkenaan masuk selepas suspek menya­mar sebagai penghantar barang.

Lebih mencemaskan, ketika rompakan berlaku, tiga pesakit dan dua kanak-kanak yang berada di ruang menunggu turut trauma dengan kejadian tersebut.

Mengimbau semula kejadian itu, pengurus klinik yang ingin dikenali sebagai Muhammad, 33, berkata, pekerja terus membukakan pintu klinik selepas suspek mendakwa hendak menghantar barang.

Katanya, pekerja kemudian menegur suspek supaya membuka kasut sekiranya ingin memasuki klinik.

“Tanpa disangka, suspek kemudian terus mengeluarkan parang dan menghempaskannya di atas meja hingga membuatkan semua yang ada terkaku dan terkejut.

“Suspek kemudian melibas-libaskan parang ke arah salah seorang pembantu klinik wanita sebelum cuba merampas beg ta­ngan yang mengandungi bara­ngan berharga,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mengenai rompakan itu menjadi tular di media sosial.

Menurut Muhammad, salah seorang pembantu cuba melawan suspek sebelum penjenayah menggertak mahu menetaknya dengan melibas-libaskan parang.

Tambahnya, suspek kemudian melarikan diri bersama barangan berharga bernilai RM10,000 selepas diberi amaran oleh pekerja yang mengatakan ada pesakit lain dalam perjalanan ke klinik itu untuk rawatan gigi.

Antara barangan dilarikan termasuk sebuah Macbook, dua buah telefon bimbit, wang tunai RM2,000 dan seutas rantai emas.

“Pekerja cuba mempertahankan beg tangan daripada dilarikan kerana ia merupakan tindakan spontan dan bukan berniat untuk melawan perompak tersebut,” katanya.

Ujar Muhammad, dia telah mengarahkan kesemua pekerja dan doktor terbabit mengambil cuti untuk menenangkan fikiran.

“Kawasan klinik bukan lokasi panas dan ini merupakan kejadian kali pertama berlaku di sini. Kami akan menambah lagi CCTV dan mengetatkan lagi prosedur setiap orang yang ingin masuk ke dalam premis,” katanya.

Menurut Muhammad, pintu klinik mempunyai kunci automatik dan amat sukar dibuka secara paksa.

“Kami buka kerana mereka menyamar sebagai penghantar barang,” katanya.

Sementara itu, seorang juruwang sebuah kedai serbaneka berhampiran, Nurul, 28, berkata, ketika kejadian kawasan itu agak sunyi kerana tidak ramai pe­ngunjung.

“Saya langsung tak mende­ngar jeritan atau suara meminta tolong. Tak sangka pula klinik gigi itu menjadi sasaran penjenayah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi memburu dua suspek terlibat.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya meng­hubungi pihaknya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN