PENGGUNA media sosial khususnya saluran YouTube dan aplikasi TikTok pasti pernah menonton video seorang pemuda tampan dari Jepun yang fasih berbahasa Melayu.
Penggunaan perkataan yang tepat dengan sebutan sedikit pelat itu cukup mengagumkan penonton di negara ini.
Siapa sangka, pemilik nama Kouji Honda itu merupakan warganegara Matahari Terbit, namun sudah lama jatuh hati pada Malaysia.
Disebabkan itu, dia yang merupakan bekas penuntut University of Tokyo di Jepun telah memilih menyambung pengajiannya dalam jurusan bahasa Melayu di sebuah universiti tempatan.
Kini, Honda semakin meniti populariti di media sosial kerana karakternya yang cukup bersahaja.
Netizen Malaysia juga sering membanjiri ruangan komen di laman sosialnya dengan kata-kata positif kerana berbangga apabila bahasa ibunda itu dituturkan dengan lancar oleh pemuda berkenaan.
Kongsi jejaka berusia 23 tahun itu, dia mula berminat dengan bahasa Melayu sejak kecil lagi kerana datuknya dahulu pernah bekerja dan menetap di Malaysia sekitar tahun 1980-an.
“Saya sering mendengar cerita datuk tentang pengalamannya di sini. Daripada situ mula timbul minat terhadap Malaysia.
“Justeru, saya mula menonton video-video bahasa Melayu dan menganggap ia sebagai satu bahasa yang comel,” tuturnya yang telah tinggal di Kuala Lumpur sejak Februari lalu.
Honda dijadual melanjutkan pelajaran selama setahun di Malaysia.Sepanjang tujuh bulan menetap di sini, dia menyifatkan semua perkara yang diceritakan oleh datuknya tentang Malaysia adalah benar belaka.

“Datuk sering memberitahu saya bahawa makanan-makanan di Malaysia semuanya enak dan penduduknya juga baik.
“Selepas beberapa bulan tinggal di sini, saya akui semua yang diceritakan datuk itu benar,” ujarnya.
Menariknya, sejak tahun lalu, Honda muat naik foto di Instagramnya dengan meletakkan kepsyen menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Daripada situ, dia mula mengumpul pengikut di Instagram yang kini telah mencecah 111,000 orang, manakala di TikTok dengan lebih 300,000 pengikut.
Ditanya tentang pengalamannya belajar bahasa Melayu, Honda berkata, ia agak mudah dipelajari dan dituturkan.
Katanya, nama negeri-negeri di negara ini juga lebih mudah untuk diingat berbanding di Jepun.
Bagaimanapun, beberapa nama panggilan bahasa Melayu lebih rumit untuk digunakan berbanding bahasa Jepun.
Dalam satu video TikTok yang dikongsinya, Honda mengakui bahawa dia keliru mengenai panggilan paling sesuai digunakan bagi golongan wanita di negara ini.
“Sebagai contoh, jika saya memanggilnya dengan gelaran puan, saya bimbang jika wanita itu belum berkahwin.
“Jika saya memanggilnya kakak pula, ia kurang sesuai jika mereka sebenarnya lebih muda.
“Andai saya memanggil mereka adik, ia bukanlah panggilan tepat jika mereka sebenarnya lebih berusia daripada saya.
“Justeru, langkah paling selamat adalah memanggil mereka dengan nama dan meletakkan perkataan san yang merujuk kepada encik atau cik dalam bahasa Jepun sebagai panggilan hormat,” ujarnya.
Kebolehan bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu menjadikan Honda sebagai sensasi internet.
Malah, dia pernah menghiasi muka depan majalah Dewan Bahasa pada keluaran September lalu.
“Saya terharu apabila foto saya menjadi muka depan majalah Dewan Bahasa.
“Terima kasih atas pengalaman istimewa ini,” katanya.
Berkongsi tentang pengalamannya mencuba pelbagai makanan menarik di negara ini, Honda berkata, dia amat menggemari nasi kerabu dan budu.
“Selain itu, saya sangat sukakan laksa Sarawak kerana rasa karinya cukup enak. Saya yakin laksa Sarawak jika dipromosikan di Jepun, ia berpotensi untuk popular,” katanya.
Aksi Honda yang cukup selesa menikmati pelbagai menu tempatan dengan menggunakan tangan juga membuatkan orang ramai seakan-akan tidak percaya bahawa lelaki itu baru saja menetap di Malaysia.
Selain nasi kerabu, Kouji juga amat menggemari nasi lemak dan burger Ramly. Berkongsi tentang pengalamannya sepanjang tinggal di negara ini, Honda mengakui, dia merasakan kehidupannya lebih santai berbanding di Jepun.
“Jika di Jepun, suasananya lebih serius jika dibandingkan dengan Malaysia. Justeru, saya berasa tenang di sini,” ujarnya sambil mengakui terdapat perbezaan ketara dari segi budaya menepati masa dalam kalangan penduduk Jepun dan Malaysia.
Bercerita tentang hasratnya yang masih belum tercapai, Honda berkata, dia berharap dapat melawat Pahang dan Sarawak sebelum pulang ke Jepun pada tahun depan.
“Saya sudah melawat semua negeri di Malaysia kecuali Pahang dan Sarawak.
“Saya berharap dapat melawat kedua-dua negeri ini sebelum kembali ke Jepun pada tahun depan,” katanya.














