DERETAN lukisan pemandangan indah yang tergantung kemas pada dinding ungu sepanjang 10 meter itu menyambut kunjungan penulis di aras 4 bersebelahan wad jagaan harian onkologi, Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.
Dari jauh, kelihatan seorang pemuda, Ahmad Kamarul Muhammad Nuruddin, 40, memerhati beberapa buah lukisan di situ sambil bibirnya menguntum senyuman.
Berdiri di hadapan karya sentuhan tangannya, lelaki yang merupakan penghidap kanser germ itu tidak menyangka lukisan dihasilkan itu menjadi sebahagian daripada bahan pameran.
“Semua ini disiapkan sewaktu berada di dalam wad ketika menjalani rawatan selama empat bulan. Saya disahkan menghidap kanser germ (pembiakan) tahun lalu selepas menjalani ujian di sebuah hospital swasta. Saya sukar untuk terima kenyataan tersebut.
“Siapa sangka dengan lukisan ini saya dapat menenangkan diri, di samping melupakan penyakit dialami. Bahkan, sepanjang menerima rawatan saya berjaya menyiapkan empat lukisan dan semuanya digantung di galeri ini,” katanya kepada K2!.
Dikenali sebagai Galeri Inspirasi Seni IKN, ruang pameran tersebut merupakan inisiatif yang dijalankan buat julung kalinya oleh IKN dengan kerjasama Novartis Malaysia bagi meraikan kekuatan dan kemandirian pesakit kanser dalam mengharungi penyakit berkenaan.
Galeri yang dilancarkan oleh Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah itu merupakan garapan idea mantan Pengerusi Persatuan Pendidikan Perubatan Institut Kanser Negara (PPPIKN) iaitu Dr. Noraini Ab Rahim.
Objektif utamanya adalah untuk mengalih fokus pesakit terhadap kesakitan serta keresahan melalui terapi mewarna.
Ia susulan daripada beberapa siri kajian yang membuktikan seni visual mampu menghilangkan kebimbangan, tekanan dan kemurungan dalam kalangan pesakit.
Pengarah IKN, Dr. Mohd. Anis Haron berkata, kaedah yang digunakan dilihat sebagai terapi bagi membantu pesakit kanser menghadapi penyakit dialami.
“Saya bersetuju dengan cadangan mantan PPIKN ini kerana saya percaya kaedah rawatan bagi mengharungi penyakit ini ada bermacam-macam cara dan seni merupakan salah satu daripadanya.
“Saya melihat program terapi seni ini mendapat sambutan baik daripada pesakit serta penjaga dalam memberi medium mengalihkan kesakitan, emosi serta psikologi mereka akibat kanser.
“Usaha mereka menyiapkan lukisan melambangkan kesungguhan para pesakit untuk terus hidup dalam melawan kanser.
“Justeru, kami begitu berharap galeri ini dapat memberi semangat dan harapan kepada semua pesakit dan warga kerja IKN untuk terus membantu pesakit-pesakit kanser,” katanya.
Tambahnya lagi, menerusi program tersebut, pesakit akan diberikan set lukisan paint by number dengan pelbagai tema untuk diwarnakan.

Katanya, hasil daripada sentuhan pesakit kanser akan digantung untuk memenuhi dinding galeri seni.
Bermula secara pilot pada tahun 2018 dengan 10 set mewarna diberikan kepada pesakit.
Bagaimanapun, tidak semua sempat dihabiskan oleh pesakit kerana mereka telah meninggal dunia.
Disebabkan itu juga sebahagian lukisan tersebut diwarnakan hitam. Ia berbeza dengan lukisan lain sebagai simbolik kepada ketiadaan mereka di dunia ini.
Pun begitu, lukisan tersebut tetap dipamerkan sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada usaha serta masa yang telah diluangkan bagi menyiapkan lukisan tersebut.
Dilancarkan pada Jun tahun lalu, sebanyak 30 potret lukisan berjaya dikumpul dan digantungkan pada pameran tersebut setakat ini.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Anis berharap, idea itu dapat dikembangkan di pusat perubatan kanser lain.
Diuji dengan penyakit kanser payudara tahap tiga, wanita berusia awal 40-an, Fida Daud reda dengan ketentuan Ilahi buat dirinya.
Pun begitu, guru yang mengajar di Melaka itu mengakui berada dalam fasa ‘denial’ ketika pertama kali menerima perkhabaran duka itu.
Lebih-lebih lagi apabila tiada ahli keluarga yang menghidap kanser.
Berkesempatan mengabadikan sekeping lukisan yang dihasilkannya di dinding harapan, Fida berharap ia mampu menjadi inspirasi kepada individu lain untuk terus bersemangat bagi meneruskan kehidupan.
“Semasa menjalani rawatan kemoterapi kedua di IKN, saya terserempak dengan seorang staf di sini yang sedang menunjukkan sekeping lukisan pada jururawat-jururawat di unit jagaan harian.
“Cara pekerja ini berkongsi dengan para jururawat menarik perhatian saya sehingga perasaan ingin tahu mengenai lukisan itu timbul.
“Salah seorang petugas berkongsi dengan saya bahawa lukisan itu dibuat oleh seorang pesakit kanser tahap empat yang terbaring di wad paliatif,” kongsinya.
Fida kemudian dipujuk untuk menghasilkan sebuah lukisan. Pada mulanya wanita itu mengakui keberatan untuk menerima pelawaan tersebut kerana dia bukanlah seorang yang pandai melukis atau mewarna.
Namun, hasil dorongan petugas di IKN, dia bersedia untuk menyiapkan sebuah lukisan.
Dia memilih lukisan pemandangan matahari terbenam dengan seekor angsa yang berlindung di sebalik pohon besar dan rendang.
Kata Fida, lakaran tersebut seakan simbolik kepada individu yang memberi kekuatan kepada dirinya dalam mengharungi ujian kesihatan.
“Selepas membawa balik lukisan ini, saya tidak terus mewarnakannya kerana rasa terlalu sukar. Lebih-lebih lagi sewaktu rawatan kemoterapi. Adakalanya saya lemah dan tidak bersemangat, beremosi serta sangat down.
“Kemudian saya terfikir, apabila sudah ambil lukisan ini, saya mesti siapkannya. Ia sama seperti berjanji dengan seseorang, maka saya harus menunaikannya.
“Bermula daripada situ, saya mula berasa seronok untuk menyiapkannya dan terhasillah sebuah karya daripada saya,” luahnya.
Kata Fida lagi, dia mengambil masa kira-kira lima minggu untuk menyiapkan keseluruhan lukisan tersebut.
Dia menambah, pada satu pandangan, dia melihat kanser seperti satu malapetaka yang tiba-tiba muncul dalam dirinya.
Dari sudut lainnya, dia dapat belajar tentang erti kesabaran dan membuka matanya tentang kasih sayang insan yang dekat dengan diri, selain cinta Sang Pencipta kepada hamba-Nya.
“Walaupun saya diuji, namun terlalu banyak kebaikan yang Allah SWT beri kepada saya. Tidak kira apa pegangan yang dipercayai, apabila anda disahkan menghidap kanser, percayalah ia bukan penghujung jalan untuk kita.
“Apa yang saya belajar setelah disahkan menghidap kanser, tahap penerimaan setiap seseorang dan cara menghadapinya adalah berbeza. Ada seorang kawan membuat buku tentang penyakitnya bagi membantu dia menghadapi kesakitannya.
“Ada juga mencari terapi melalui tanaman pokok bunga. Saya pula bermula dengan membaca ayat-ayat al-Quran khas bagi kanser, kemudian saya pilih membaca al-Quran sepenuhnya sambil memperbaiki tajwid.
“Bagi saya, al-Quran merupakan terapi terbaik. Tidak ada cara terbaik yang boleh membantu seseorang melainkan individu itu sendiri mencari aktiviti yang dapat membantunya meneruskan hari-hari mendatang sebagai pesakit kanser,” jelasnya.














