fbpx

Sindiket seleweng minyak diesel guna kapal tangki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Port Dickson membuat peneriksaan ke atas sebuah kapal tangki yang menjalankan kegiatan penyelewengan minyak diesel di kawasan Batu 18, Pasir Panjang di Port Dickson semalam. FOTO IHSAN KPDNHEP.

PORT DICKSON – Sindiket penyelewengan minyak diesel menggunakan kapal tangki berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Port Dickson di kawasan Batu 18, Pasir Panjang di sini semalam.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pasukan penguat kuasa mendapati terdapat seorang lelaki dipercayai pemandu lori tangki dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel.

“Lelaki itu memindahkan minyak diesel daripada tangki sebuah lori ke sebuah kapal tangki melalui hos-hos yang bersambungan.

“Hasil pemeriksaan dokumen yang dilakukan terhadap individu yang mengendalikan
kapal tersebut mendapati pihaknya tidak mempunyai lesen dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Zahir, hasil serbuan itu anggaran rampasan keseluruhan barangan yang disita bernilai RM1.14 juta.

“Sebanyak 65,000 liter minyak diesel telah disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM139,750.

“Turut disita sebuah kapal tangki, sebuah lori tangki serta peralatan-peralatan yang digunakan di tempat serbuan seperti pam penyedut bahan api,” katanya.

Muhammad Zahir berkata, selain itu, seramai empat orang lelaki warganegara tempatan dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kejayaan kes itu adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan oleh KPDNHEP Port Dickson berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan juga bagi mengenal pasti punca dan rantaian bekalan minyak diesel yang terlibat dalam kes ini,” katanya.

Tambah beliau, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus megambil tindakan terhadap sindiket penyelewengan minyak diesel di negeri ini.

“KPDNHEP Negeri Sembilan ingin menegaskan dan menasihatkan para peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuat kuasakan oleh KPDNHEP di dalam jalan perniagaan dan perdagangan masing-masing,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI