fbpx
BIARPUN berbeza latar belakang muzik, Noki akui mudah bekerjasama dengan Bil Musa.

Noki K-Clique, Bil Musa memang ‘Pantang’ dicabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GELARAN juara Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi lagu Gila bersama Kaka Azraff dan Tuju, tidak membuatkan Noki K-Clique mendabik dada dan berasa hebat.

Menganggap semua itu sebagai bonus dalam berkarya, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji berkata, dia masih ‘budak’ baharu dan perlu banyak belajar.

Noki yang baru melancarkan single Pantang bersama penyanyi Bil Musa bahkan enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap lagu tersebut bagi mengelak rasa kecewa.

“Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan harapan terlalu tinggi kepada semua lagu saya. Saya takut bila letak harapan tapi tak tercapai, nanti ada rasa tak sedap.

“Sejak dari zaman sekolah lagi saya tidak pernah letak harapan, saya takut kecewa dan rasa patah hati.

“Setakat ini saya tak pernah lagi mengalaminya, saya tengok kawan-kawan saya yang kecewa bila tidak dapat sesuatu sangat menyakitkan,” ujarnya.

BERBEZA dengan Bil Musa, Noki mengakui dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk lagu Pantang.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu lebih suka menganggap kejayaan yang dicapai hari ini semuanya datang secara mengejut.

Untuk rekod, selain Gila, Noki juga beraksi di pentas AJL36 bersama Shiha menerusi lagu AEWO.

Biarpun tidak meletakkan harapan tinggi, Noki tetap yakin lagu Pantang mempunyai kelebihan tersendiri dan mudah untuk diterima pengemar muzik.

“Lagu ini berbeza daripada karya-karya sebelum ini. Pantang bercerita tentang semangat dan seseorang yang pantang dicabar.

“Ini juga projek pertama saya dengan Bil Musa dan alhamdulillah bekerja dengan dia sangat senang,” ujar Noki.

Eksploitasi

Bercerita tentang soal peribadi, Noki yang sebelum ini gemar berkongsi gambar-gambar sendiri atau mudah disebut ‘tayang badan’ serta bertubuh kekar itu tidak terusik jika ada pihak mendakwa fizikalnya dieksploitasi segelintir pihak.

Lelaki berusia 28 tahun itu beranggapan, tawaran-tawaran yang diterimanya sama ada kolaborasi lagu atau lakonan adalah rezeki.

Dia juga melihat usahanya membina otot dan mendapatkan badan sasa membuahkan hasil dan cuma menjadi kelebihan buat dirinya.

“Saya tidak kisah kalau orang kata saya dapat tawaran kerana badan sasa atau kena eksploitasi sebab mereka ambil saya kerana fizikal.

“Saya lihat semua itu rezeki dan satu perkara positif untuk kerjaya. Sekurang-kurangnya usaha saya pergi gimnasium dan buat badan ada hasilnya,” ujarnya.

NOKI tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila sering menerima mesej lucah menerusi Instagram.

Memasuki topik berhubung gangguan yang diterima gara-gara perkongsian foto-foto tidak berbaju, Noki berkata, dia tidak pernah menyalahkan orang lain, kecuali diri sendiri.

Akuinya, situasi tersebut berlaku disebabkan tindakannya yang membuka ruang kepada netizen untuk berani menghantar mesej-mesej tidak sepatutnya.

“Ramai yang hantar mesej dan gambar bukan-bukan tapi saya tidak layan. Selalunya saya akan padam setiap kali nampak mesej sebegitu.

“Saya tak salahkan mereka sebab itu silap sendiri kongsi gambar-gambar begitu,” ujarnya.

Menyentuh kerjaya lakonannya, Noki kini dalam fasa berehat seketika bagi memberi fokus terhadap nyanyian.

Kata Noki, penggambaran yang panjang menyukarkan dirinya untuk berkarya sebagai seorang penyanyi.

“Saya ambil masa rehat sekejap daripada lakonan kerana mahu kembali fokus terhadap nyanyian.

“Banyak yang tertangguh sebab sibuk dengan penggambaran,” ujarnya yang baru selesai penggambaran sebuah filem berjudul War On Terror.

Belum berpecah

Jarang tampil membuat persembahan bersama, Noki menafikan spekulasi bahawa kumpulan K-Clique sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Namun mengakui berdepan cabaran kerana kebanyakan anggota K-Clique menetap di Sabah dan menjadi kekangan untuk mereka berkumpul bagi menghasilkan sesebuah karya.

“Kami masih bersama cuma sekarang ‘slow down’ sikit kerana baru lepas pandemik Covid-19.

“Kami semua tinggal berjauhan, sekarang saya dan MK sahaja di Kuala Lumpur, ahli lain termasuk Tuju kini menetap di Sabah.

NOKI menyifatkan kolaborasi bersama Bil Musa sangat lancar kerana penyanyi itu seorang yang mudah bekerjasama.

“Tidak dinafikan keadaan agak sukar sekarang, kalau nak buat lagu memang mudah cuma bila hendak buat penggambaran video muzik susah sikit. MK pula sekarang tengah berlakon drama 40 episod.

“Tapi insya-Allah, K-Clique akan ada lagu baharu tidak lama lagi, mungkin hujung tahun ini,” ujarnya.

Selain Noki, K-Clique turut dianggotai oleh MK, Tuju, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello, dan NastyNaa.

Selain itu, Noki mengakui latar belakang yang hampir sama, persefahaman dan keunikan yang ada pada setiap ahli membuatkan mereka mampu bertahan sehingga kini.

Bil Musa tukar genre

Beralih kisah tentang regu Noki dalam single kali ini, Bil Musa sebenarnya sudah tujuh tahun berkecimpung dalam lapangan muzik indie. Kali ini, Bil mencuba nasib beralih ke genre pop.

Pemilik nama penuh Nabilah Musa itu berkata, dia mahu keluar dari zon selesa dan melakukan sesuatu yang baharu.

“Selama tujuh tahun saya dah cuba semua benda dan lalui banyak perkara dalam muzik indie. Sekarang tiba masa untuk saya keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang berbeza.

“Boleh dikatakan ini percubaan saya untuk masuk ke pasaran arus perdana,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang Pantang, penyanyi berusia 29 tahun itu mengakui berdepan beberapa cabaran terutamanya pertama kali menyanyikan lagu komposer lain.

Menerusi Pantang, Bil Musa mencabar diri keluar dari zon selesanya selama ini.

“Sudah tentu cabaran utama adalah untuk menghayati dan membawakan lagu berkenaan dengan baik.

“Kalau nyanyi lagu ciptaan sendiri senang sebab kita sudah tahu apa mesej dan bagaimana untuk sampaikan.

“Selain itu cabaran dari segi lontaran suara, sebelum ini lagu-lagu saya banyak yang santai tapi alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja,” ujarnya.

Tidak seperti Noki, Bil mengakui meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu berkenaan agar diterima dengan baik dan layak dipertandingkan di pentas AJL.

Jika semuanya berlaku, Bil sendiri akan mula dikenali peminat muzik arus perdana.

“Saya memang letak harapan tinggi dan berharap lagu ini dapat pergi jauh serta bertanding dalam AJL,” ujarnya.

Lagu Pantang merupakan hasil ciptaan komposer Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan John Jeeves sudah boleh didengar menerusi semua platform digital dan YouTube.

Komposer

Bil sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu ciptaannya seperti Owe It All To You, Sejarah, Adakah Ini, Nineteen dan Elvis Presley tidak pernah berhenti menghasilkan lagu.

Menurutnya sehingga kini dia mempunyai lebih 20 buah lagu dalam simpanan yang belum diterbitkan.

Dia juga merancang untuk menerbitkannya dalam bentuk album mini tidak lama lagi.

LAGU Pantang memberi cabaran buat Bil dari segi lontaran suara kerana lagu-lagu terdahulunya banyak bersifat santai.

“Saya masih buat lagu kerana itu jiwa saya, sekarang ada lebih kurang 20 buah lagu dalam koleksi simpanan.

“Insya-Allah memang rancang untuk keluar dengan album mini.

“Tapi buat masa ini saya ikut perancangan pihak pengurusan kerana selepas ini saya akan muncul dengan genre pop balada pula,” ujarnya yang kini bernaung bawah label Armani Entertainment.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN