fbpx

Jair Bolsonaro kecundang, Lula Presiden baharu Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LULA daripada Parti Pekerja menggenggam tangan isteri, Rosangela dal Silva semasa berucap kepada penyokongnya di Sao Paulo, Brazil kelmarin. - AFP

BRASILIA – Presiden yang di­pilih rakyat, Luiz Inacio Lula da Silva menggesa ‘keamanan dan penyatuan’ ketika Brazil berpecah belah dan berkata, negara berkenaan bukan lagi terasing di peringkat antarabangsa.

Dalam ucapan kemenangannya, Lula menyantuni para penyokong dan seteru beliau. Katanya, Brazil kini memerlukan keamanan, demokrasi dan peluang.

Lula turut menyentuh tentang kesaksamaan kaum dan gender serta keperluan mendesak untuk menangani krisis makanan yang kini menjejaskan 33.1 juta rakyat Brazil.

“Roda ekonomi akan berputar semula,” katanya.

Beliau memenangi 50.90 peratus undi berbanding pencabar­nya, Jair Bolsonaro yang mendapat undi 49.10 peratus sekali gus membayangkan rakyat berpecah belah selepas kempen pilihan raya yang dianggap kotor.

“Tiada seorang pun mahu  hidup di sebuah negara  yang berpecah belah dan sentiasa bertelagah,” kata Presiden berhaluan kiri berusia 77 tahun itu. Dalam ucapannya, Lula  berjanji akan berkhidmat kepada semua 215 juta rakyat Brazil dan bukan kepada mereka yang mengun­dinya sahaja.

“Negara ini memerlukan keamanan dan penyatuan. Rakyat tidak mahu terus bertelagah,” tambahnya.

Menurut Lula, Brazil bersedia untuk mengambil semula kedudukannya di pentas antarabangsa selepas Bolsonaro cenderung menyokong bekas Presiden Amerika Syarikat, ­Donald Trump dan kerap mengkritik sekutu-sekutu Brasilia.

Beliau juga berjanji akan memulihara Hutan Hujan Amazon dan mengamalkan dasar sifar penebangan hutan.

Lula yang berundur dalam tahun 2010 sebagai Presiden pa­ling popular dalam sejarah Brazil, tercemar imejnya apabila dipenjara selama 18 bulan atas dakwaan rasuah. Beliau kini kembali untuk penggal ketiga pada usia 77 tahun.

Sementara itu, Bolsonaro te­rus berdiam diri,  beberapa jam selepas keputusan pilihan raya Presiden Brazil tersebut diisytiharkan.

“Di tempat-tempat lain di dunia, calon Presiden yang tewas sudah menghubungi untuk mengaku kalah. Beliau belum berbuat demikian. Saya tidak tahu sama ada beliau akan berbuat demi­kian dan mengaku kekalahannya,” kata Lula. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI