fbpx
Wajah muram sebahagian penumpang apabila terpaksa menghabiskan lebih enam jam di atas feri yang terkandas di tengah laut.

Terkandas 6 jam, pelancong sudah serik naik feri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Ketika sedang belayar, saya dengar bunyi kuat seperti feri terlanggar sesuatu. Suasana begitu cemas kerana ada yang sesak nafas dan sakit saraf selain suara budak menangis ada di mana-mana kerana kepanasan dan takut.”

Selain itu, ada penumpang memberitahu, mereka begitu kecewa dan serik untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu lagi selepas mengalami sendiri insiden terperangkap le­bih enam jam di tengah laut.

Demikian luahan sebahagian daripada 547 penumpang feri yang terkandas selepas pengangkutan itu tersangkut pada beting lumpur di muara Kuala Kedah di sini ketika hendak pulang daripada bercuti di Langkawi.

Kejadian berlaku pada pukul 2.40 petang sebaik Feri Express Bahagia 98 berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi menuju ke Terminal Feri Kuala Kedah.

Feri itu terkandas kira-kira 500 meter lagi hendak sampai ke terminal Kuala Kedah.

Ekoran kejadian itu, bot Ma­ritim Malaysia, polis dan nelayan terpaksa digerakkan untuk memindahkan 272 penumpang terlebih dahulu termasuk mereka yang mengalami sesak nafas, sakit saraf dan memerlukan dialisis.

Seorang penumpang, Shazuarni Ahmad, 28, berkata, dia jadi takut ketika feri itu dirasakan seperti terlanggar sesuatu hingga menghasilkan bunyi kuat.

Operasi memindahkan penumpang dilakukan sedikit demi sedikit untuk dibawa ke Terminal Kuala Kedah.

Katanya, tidak lama kemudian, dia mendengar pengumuman oleh petugas mengatakan pengangkutan air itu telah tersangkut di beting lumpur kerana air surut.

“Kami kemudian diminta memakai jaket keselamatan. Pada masa sama saya amat takut memandangkan saya membawa dua anak kecil berusia tiga tahun dan dua bulan.

“Hanya keselamatan mereka yang saya risaukan,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah kelmarin.

Menurut Shazuarni, keadaan bertambah cemas apabila suasana di dalam feri semakin panas selepas pendingin hawa tidak dapat dihidupkan kerana enjin feri telah dimatikan.

Tambahnya, bunyi tangisan dan rengekan budak yang dibawa oleh keluarga masing-masing didengari di setiap sudut kerana resah apabila kepanasan dan kelaparan.

“Ramai penumpang yang bertindak keluar dari feri dan duduk di ruang terbuka untuk mengambil angin,” ujarnya.

Menurutnya, dia dan sebahagian daripada 11 ahli keluarganya kemudian dipindahkan ke bot nelayan untuk dibawa ke Terminal Feri Kuala Kedah.

Seorang lagi penumpang, Muhammad Faizal Abdullah, 36, berkata, dia merupakan antara 275 penumpang yang berada di dalam feri lebih enam jam dan hanya tiba di terminal Kuala Kedah pada pukul 9.25 malam.

“Sepatutnya perjalanan hanya mengambil masa tiga jam dan feri dijadualkan tiba pada pukul 3 petang di terminal Kuala Kedah.

“Rata-rata penumpang keletihan dan saya kasihan dengan anak-anak kecil yang kepanasan sepanjang berada di dalam feri,” katanya.

Ujar Muhammad Faizal, ketika terkandas, beberapa penumpang mengadu mengalami kekejangan dan dibantu oleh pegawai perubatan yang ada di dalam feri.

Rata-rata penumpang yang ditemui berharap agar pihak berkaitan dapat memastikan alur pelayaran feri dan kawasan berhampirannya selamat untuk dilalui dengan tiada mendapan lumpur atau bahan asing lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN