fbpx

30 peratus stesen tenaga Ukraine musnah dalam seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba Ukraine menjalankan operasi di bangunan yang musnah di Kiev pada 17 Oktober lalu. - AFP

KIEV – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan bahawa 30 peratus daripada stesen jana kuasa di negara itu musnah hanya dalam masa seminggu ketika Russia terus meningkatkan serangan ke atas infrastruktur tenaga yang penting, sekali gus menyebabkan bekalan elektrik terputus secara besar-besaran, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

“Satu lagi jenis serangan pengganas oleh Russia adalah menyasarkan infrastruktur tenaga dan penting. 

“Sejak 10 Oktober, 30 peratus daripada stesen jana kuasa Ukraine telah musnah, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di seluruh negara,” kata Zelenskyy menerusi laman Twitter.

Moscow telah menyasarkan kemudahan-kemudahan utama Ukraine dalam beberapa hari kebelakangan ini, mengakibatkan kawasan di sekurang-kurangnya tiga bandar terputus bekalan elektrik.

Sebuah kawasan kejiranan di Kiev turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan air, kata syarikat tenaga tempatan, DTEK menerusi laman Facebook kelmarin.

“Tembakan Russia telah merosakkan kemudahan infrastruktur kritikal di daerah Desnyansky, menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke atas penduduk daerah Troyeshchyna dan gangguan saluran air yang menghantar bekalan ke Tebing Kiri Kiev,” kata syarikat itu.

Di wilayah Dnipropetrovsk pula, sekurang-kurangnya tiga kawasan termasuk bahagian bandar Dnipro mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala kemudahan pam air kehilangan kuasa selepas Russia melancarkan dua peluru berpandu di kemudahan tenaga yang menyebabkan kebakaran serta kemusnahan teruk, demikian menurut pihak berkuasa tempatan. 

Wakil CNN di Dnipro dilaporkan melihat kesan serangan terhadap loji jana kuasa di bandar itu dan asap dilihat berkepul-kepul di kemudahan tersebut. 

Datuk Bandar Zhytomyr dalam satu kenyataan berkata, bandar itu mengalami masalah bekalan elektrik dan air terputus, dengan hospital terpaksa menggunakan tenaga kecemasan.

Penduduk Kiev juga digesa oleh pegawai tempatan untuk mengehadkan penggunaan elektrik dan air selepas dua kompleks infrastruktur utama diserang kelmarin. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI