fbpx

JDT julang kejuaraan kesembilan tanpa kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain meraikan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin. - JOHOR SOUTHERN TIGERS

SAMBUTAN Johor Darul Ta’zim (JDT) yang meraikan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut berlangsung penuh meriah dan gilang-gemilang dengan tembakan bunga api menerangi seluruh Stadium Sultan Ibrahim di bumi Iskandar Puteri malam kelmarin.

Menariknya, JDT mengesahkan kejuaraan kesembilan pada 1 Oktober lalu ketika menewaskan Negeri Sembilan FC 5-0, namun lebih manis apabila skuad Harimau Selatan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan musim ini apabila membenam Sabah FC 3-0 pada aksi terakhir Liga Super menyamai rekod 2016 dan 2020.

Biarpun sudah berjaya menamatkan musim dengan rekod tanpa kalah, ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio tetap beranggapan bahawa pasukan itu masih belum berada di tahap tertinggi.

Bidoglio memberitahu, beliau gembira pasukan itu berjaya merekodkan keputusan memberangsangkan itu, namun percaya masih ada ruang yang boleh diperbaiki bagi membolehkan skuad Harimau Selatan menjadi pasukan yang digeruni lawan.

Beliau teruja untuk membantu JDT menjadi pasukan yang lebih baik setelah berjaya menyesuaikan diri dengan skuad Harimau Selatan dalam tempoh yang singkat menggantikan pengendali terdahulu, Benjamin Mora pada bulan Julai lalu.

“Terlalu banyak persamaan antara saya dan JDT baik dari segi gaya permainan dan strategi yang digunakan, mudah untuk saya membiasakan diri bersama kelab ini dibantu barisan kejurulatihan yang ada.

“Setiap liga dan kelab adalah berbeza, ia mungkin kedengaran cliche, namun JDT adalah sebuah kelab yang mempunyai impian yang besar dan semakin berkembang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar semalam.

Bidoglio berkata, tumpuannya selepas ini terarah kepada sai­ngan Piala Malaysia apabila skuad Harimau Selatan akan bertemu dengan Petaling Jaya (PJ) City FC.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JDT bakal mengharungi kejohanan Piala Malaysia tanpa kehadiran pemain bek tengah, Shane Lowry yang mengalami kecederaan ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC sebelum ini.

Tambahnya, sandaran akan diberikan kepada penyerang handalan JDT, Bergson Da Silva yang melalui musim terbaiknya setelah meledak 29 gol dalam saingan Liga Super musim ini.

“Menarik mengenai Bergson ialah dia bukan sahaja mampu mencipta jaringan, malah berupaya memastikan rakan sepasukan beraksi dengan baik sebagai sebuah unit. Ini yang menjadikan Bergson sebagai pemain yang berharga.

“Keupayaannya melakukan serangan dari pelbagai sudut menyebabkannya menjadi penye­rang yang digeruni lawan kerana mampu mengubah perlawanan pada bila-bila masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI