fbpx

Victoria STS berjaya selesaikan pemindahan LNG pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Victoria STS telah berjaya menyelesaikan pemindahan LNG pertama dari kapal ke kapal (STS) di Labuan Port Limit, Labuan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Straits Energy Resources Berhad (Straits) melalui unitnya, Victoria STS (Labuan) Sdn Bhd (Victoria STS) telah berjaya menyelesaikan pemindahan gas asli cecair (LNG) pertama dari kapal ke kapal (STS) di Labuan Port Limit, Labuan baru-baru ini. 

Ini adalah pemindahan LNG STS pertama yang dibuat di Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd. Benjamin Bernard Bijion berkata, pihaknya telah berjaya menyelesaikan operasi STS pada 13 Oktober lalu tanpa sebarang kecederaan yang dilaporkan kepada kakitangan atau kesan terhadap alam sekitar.

“Pelbagai senario telah dipertimbangkan dan ini dicapai melalui usaha kolektif dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi itu, dengan kerjasama dan sokongan pelanggan Victoria,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Lukisan grafik menunjukkan hab pemindahan tenaga dari kapal ke kapal di Teluk Victoria.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail menjelaskan, minyak dan gas bukanlah aktiviti baharu di Labuan tetapi terdapat keperluan untuk mempelbagaikan aktiviti sektor tersebut.

 “Kami menyokong penuh operasi STS kerana kami percaya ia akan memberi kesan limpahan kepada ekonomi Labuan,” jelasnya.

Victoria STS adalah pakar dalam pengendalian luar pesisir bagi gas cecair dan kargo petroleum pukal.

Syarikat itu menerima lesen pertamanya untuk menjalankan operasi STS bagi produk minyak dan gas cecair dalam Hab Pelabuhan Victoria pada Julai tahun lepas.

Hab STS terletak di kawasan strategik iaitu di sekitar Labuan Liberty Port yang diurus dan dikendalikan oleh Megah Port Management Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik Straits yang dimilikinya sebanyak 51 peratus. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI