TIDAK ada wanita di dunia ini rela hidup dengan orang ketiga dalam perkahwinan mereka. Begitu juga saya, sebolehnya tidak mahu hidup bermadu sepanjang perkahwinan.”
Itulah ungkapan yang keluar dari mulut Zila (bukan nama sebenar) apabila diminta mengulas mengenai punca perceraiannya dengan suami yang dikenali sebagai Ismail kira-kira enam bulan lalu.
Bercerita lanjut, Zila yang juga seorang pekerja bank memaklumkan, dia telah berkahwin dengan Ismail sejak 15 tahun lalu selepas menjalin hubungan cinta di universiti.
Ujarnya, hasil perkahwinan tersebut, pasangan yang menetap di Seberang Perai, Pulau Pinang itu dikurniakan dua orang cahaya mata, masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.
Sepanjang hidup bersama, kehidupan pasangan tersebut kelihatan bahagia memandangkan masing-masing faham akan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.
“Perkahwinan kami atas dasar cinta. Lama juga kami bercinta sewaktu zaman belajar dahulu. Selepas kerja, kami memilih untuk melangsungkan perkahwinan.
“Sepanjang hidup bersama, pelbagai suka dan duka dilalui bersama. Malah, anak-anak pun berjaya dibesarkan dengan cukup sempurna dan penuh kasih sayang,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Menurut Zila, hubungan mereka mula bergolak selepas suaminya yang merupakan pensyarah di sebuah universiti di utara tanah air menjalin hubungan cinta dengan pelajarnya sendiri.
Ceritanya, Ismail telah berkenalan dengan Amira (bukan nama sebenar) yang juga penuntut di institusi pengajian tinggi berkenaan.
“Saya diberitahu bahawa Amira telah memasuki usia lewat 20-an. Dia merupakan penuntut ijazah sarjana di universiti itu. Suami saya pula adalah penyelia kepada tesisnya sepanjang pengajian.
“Disebabkan selalu berjumpa bagi perbincangan, hubungan suami saya dengan Amira menjadi rapat. Saya difahamkan, mereka selalu menghabiskan masa bersama,” ujarnya.
Pada mulanya, Zila merasakan hubungan suaminya dengan Amira tidak lebih daripada seorang pensyarah dan pelajar.

Malah, jarak umur mereka sangat ketara dengan Ismail telah berusia pertengahan 40-an.
Bagaimanapun, jangkaan Zila meleset sama sekali selepas Ismail menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan Amira bagi mengelak berlaku maksiat.
“Saya tidak sangka, suami tiba-tiba beritahu dia hendak berkahwin dengan pelajarnya. Ismail beritahu, mereka sudah lama kenal dan ibu bapa pelajar itu sudah tahu hubungan berkenaan.
“Ketika itu, hanya Tuhan sahaja tahu perasaan ini. Saya rasa sedih dan kecewa dengan Ismail kerana sanggup menduakan diri ini meskipun ia dibenarkan oleh agama,” katanya.
Rentetan itu, Zila memberanikan diri mengadakan pertemuan empat mata dengan Amira bagi berbincang mengenai hasrat wanita itu untuk bersuamikan Ismail.
Hasil pertemuan tersebut cukup mengecewakan apabila Zila gagal mengawal emosi sehingga membawa kepada percakaran antara mereka di sebuah restoran.
“Saya cuba pujuk dia (Amira) supaya tidak meneruskan hasrat untuk berkahwin dengan Ismail. Saya sarankan dia berkahwin dengan orang lain kerana masih ramai lelaki bujang yang kaya di luar sana.
“Malangnya, pujukan itu tidak berhasil sama sekali. Sebaliknya, Amira beritahu saya dia sudah lama menyimpan hasrat memiliki Ismail. Bagi dirinya, Ismail seorang lelaki yang sempurna,” ujarnya.
Memandangkan Zila gagal memujuk Amira membatalkan hasrat untuk berkahwin, dia telah meminta Ismail menceraikannya terlebih dahulu.
Jelasnya, dia terpaksa mengambil tindakan drastik tersebut kerana enggan hidup berpoligami dan berkongsi kasih sayang seorang suami bersama wanita lain.
“Mungkin wanita lain boleh hidup berpoligami, tetapi saya tidak boleh berbuat demikian. Jadi, kalau Ismail hendak kahwin dengan Amira, dia perlu ceraikan saya terlebih dahulu.
“Disebabkan itu, Ismail telah melafazkan cerai dengan talak satu di mahkamah syariah.
Sewaktu ditanya sebab perceraian oleh hakim, saya hanya maklumkan enggan hidup bermadu,” ujarnya.














