fbpx

Daging kerbau dari India bernilai RM41,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa MAQIS merampas daging kerbau sejuk beku dari India di Pelabuhan Pasir Gudang.

PASIR GUDANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor merampas sebanyak 188 kotak daging kerbau sejuk beku dari India bernilai lebih RM41,000 di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini kelmarin.

Pengarah MAQIS Negeri Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, penahanan produk ruminan itu hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa terhadap kontena berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan ke atas kontena tersebut juga mendapati terdapat maklumat mengelirukan iaitu tarikh sembelih yang diisytiharkan adalah berbeza dalam sijil halal yang disertakan bersama.

“Penggunaan maklumat pada sijil halal dan sijil kesihatan yang tidak tepat serta mengelirukan akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dagangan seberat 4,500 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM41,000 telah dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya lagi, ejen penghantaran berusia 21 tahun yang membawa kontena itu dilepaskan setelah keterangan diambil.

“Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI