fbpx
Kejadian di Stadium Kanjuruhan, Indonesia baru-baru ini dan Stadium Nacional Estadio, Peru pada tahun 1964 merupakan dua peristiwa yang terburuk dalam sejarah bola sepak.

Tragedi-tragedi berdarah di stadium bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KAMI semua kecewa dengan keputusan perlawanan, tetapi tiada tanda keganasan atau hura-hara berlaku sehinggalah pihak polis melepaskan gas pemedih mata.

“Hal ini telah memburukkan lagi keadaan dan polis bertindak keterlaluan dalam mengendalikan keadaan,” kata Toni Lestari Widodo, 62, yang merupakan salah seorang mangsa tragedi rempuhan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia baru-baru ini.

Tragedi meragut nyawa itu berlaku ketika aksi Liga 1 Indonesia antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Penyokong Arema FC yang tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 3-2 bertindak menceroboh ke dalam padang sehingga memaksa anggota polis menembak gas pemedih mata.

Seorang pemuda, Riyan Dwi Cahyono, 22, yang patah tulang dalam insiden itu mengakui bahawa penyokong Arema FC yang tidak berpuas hati dengan kekalahan itu telah turun ke padang.

“Penyokong memang turun ke kawasan padang untuk memprotes kepada pemain dan pengurusan Arema FC. Mengapa Arema FC boleh kalah?” katanya kepada Kompas.

Tragedi tersebut juga telah menyebabkan Andi Hariyanto, 32, yang kehilangan isteri serta dua anak perempuannya trauma dan enggan lagi pergi ke stadium.

“Saya tidak akan menonton perlawanan bola sepak lagi. Sekarang saya hanya memikirkan anak lelaki saya dan saya tiada masa untuk tujuan lain. Kini yang lebih penting ialah mencari makanan untuk esok,” ungkap Andi.

Menurut Persatuan Bola Sepak Indonesia, tragedi berdarah itu telah menyebabkan beratus-ratus cedera dan 131 orang maut dengan 33 daripadanya ialah kanak-kanak.

Para penyokong Arema FC bertempiaran menyelamatkan diri setelah gas pemedih mata dilepaskan pihak keselamatan dalam tragedi terburuk dalam sejarah bola sepak Indonesia itu.

Terletak di Jawa Timur, Stadium Kanjuruhan sering digunakan untuk perlawanan bola sepak dan boleh memuatkan sehingga 38,000 penonton. Bagaimanapun sebanyak 42,000 tiket telah dikeluarkan untuk perlawanan tersebut.

Insiden tersebut bukan sahaja merupakan bencana terburuk dalam sejarah sukan di negara itu, tetapi juga antara yang terburuk di dunia.

Dalam kejadian itu, penyokong Arema FC telah bertempur dengan polis sehingga pasukan keselamatan bertindak melepaskan gas pemedih mata ke kawasan tertutup stadium.

Ribuan penonton kemudian bersesak untuk keluar dari stadium dan sesak nafas akibat semburan gas pemedih mata, malah pihak berkuasa melaporkan mangsa yang terkorban antaranya akibat terhimpit, bersesak dan dipijak.

Akibat kejadian itu juga, ratusan polis Malang telah memohon maaf beramai-ramai dan enam individu termasuk polis dlaporkan bakal didakwa atas tuduhan jenayah menyebabkan kematian.

Pun begitu, tragedi sedemikian bukanlah satu hal baharu. Kejadian berlaku di Stadium Kanjuruhan itu adalah tragedi kedua terburuk dalam sejarah bola sepak dunia.

Tragedi di Stadium Kanjuruhan telah menyebabkan seramai 131 orang maut, menurut angka yang disahkan pihak berkuasa setakat ini.

Tragedi paling buruk telah berlaku di Lima, Peru pada 24 Mei 1964 apabila 328 orang terbunuh akibat rempuhan penyokong di Stadium Nasional Estadio setelah Argentina menewaskan Peru dalam perlawanan kelayakan Olimpik.

Menjadi tuan rumah ketika menentang Argentina, perlawanan itu dianggap cukup penting bagi Peru yang memerlukan keputusan sekurang-kurangnya seri.

Kejadian di stadium berkapasiti 53,000 itu berlaku ketika Argentina sedang mendahului 1-0 ke atas Peru.

Kekecohan tercetus apabila pengadil membatalkan gol Peru sewaktu perlawanan berbaki dua minit lagi.

“Walaupun kami bermain dengan baik, pasukan pelawat mendahului.

“Kami menyerang dan akhirnya menghasilkan gol tetapi pengadil mengatakan ada kesalahan dan tidak membenarkan gol tersebut. Itulah yang menyebabkan orang ramai menjadi sangat kecewa,” jelas Hector Chumpitaz, salah seorang legenda bola sepak Peru.

Penonton kemudiannya mula memasuki padang dan cuba menyerang pengadil tetapi dihalang polis di luar padang.

Dalam beberapa saat, ramai penonton mula masuk padang dan meluru ke arah polis.

Bercerita mengenai insiden itu, seorang penonton, Jose Salas berkata, dia memilih untuk tidak masuk ke padang dan cuba menuruni tangga keluar ke jalan raya seperti yang dilakukan oleh orang lain tetapi pintu keluar telah ditutup.

“Jadi kami berpusing dan mula menaiki tangga. Ketika itulah polis mula menyembur gas pemedih mata.

“Orang ramai yang berada di tempat perhentian berlari ke dalam terowong untuk melarikan diri dan bertembung sesama mereka sehingga menyebabkan rempuhan yang besar,” katanya.

Berdasarkan laporan, kebanyakan mangsa mati akibat sesak nafas.

Tragedi yang mengorbankan ratusan nyawa turut berlaku di Ghana pada Mei 2001 sewaktu pertembungan antara pasukan ‘musuh tradisi’ Accra Hearts of Oak dengan Asante Kotoko yang merupakan dua pasukan terkuat di negara itu.

Kekecohan di Stadium Ohene Djan, Ghana ketika perlawanan bola sepak dua pasukan terkuat Ghana pada 2001 telah berakhir dengan ‘pertumpahan darah’ apabila 126 maut.

Tragedi di Stadium Ohene Djan itu telah menyebabkan 126 maut. Huru-hara tercetus apabila para penyokong pasukan Accra yang tidak berpuas hati keputusan pengadil bertindak membaling botol dan kerusi plastik ke arah padang.

Polis yang cuba meleraikan kekecohan mula menyembur gas pemedih mata.

Dalam pada itu, rusuhan lain yang turut meragut nyawa terjadi di Stadium Port Said di Mesir pada 1 Februari 2012 ketika perlawanan antara pasukan Al-Masry menentang Al-Ahly.

Beratus-ratus penyokong Al-Ahly telah meninggalkan rumah mereka untuk pergi ke Port Said bagi menyokong pasukan kesayangan. Namun, kemeriahan perlawanan penentuan kejuaraan liga tersebut bertukar menjadi malam yang gelap dalam sejarah bola sepak Mesir.

Tragedi itu berlaku akibat provokasi melampau yang dilakukan para penyokong Al-Masry selepas tamat perlawanan susulan kemenangan Al-Masry 3-1 ke atas Al-Ahly.

Sejumlah besar penyokong Al-Masry telah menyerbu masuk ke padang sebelum mereka melakukan serangan menggunakan botol, bunga api dan pisau ke arah penyokong Al-Ahly yang berada di tempat duduk, pemain serta pegawai pasukan lawan sehingga menyebabkan 74 kematian dan 500 cedera.

Pegawai keselamatan berkata kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat gegaran otak, tikaman dan dipijak.

“Ini bukan bola sepak. Ini perang, orang mati di depan mata kita,” kata Mohamed Abo Treika yang merupakan pemain pasukan Al-Ahly pada ketika itu.

Dalam pada itu, bekas pemain Al-Ahly, Hani Seddik yang menonton perlawanan itu dari rumahnya mempersoal bagaimana penyokong boleh membawa pisau masuk ke dalam stadium.

“Pada saya wini adalah tindakan orang yang tidak mahu negara ini selamat.

“Saya tidak fikir rusuhan ini kerana bola sepak. Perusuh itu bukan peminat bola sepak,” katanya.

Akibat peristiwa itu, sebelas lelaki telah dijatuhi hukuman mati pada 2015 setelah terlibat dalam rusuhan ganas tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN