fbpx

Mahkamah: Zeti didakwa selalu terima kunjungan Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Nama bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dipetik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana didakwa sering menerima kunjungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di kediaman beliau.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihak pembelaan mempunyai maklumat yang boleh dipercayai dan disertai bukti bahawa Jho Low sering mengunjungi Zeti Akhtar di rumahnya.

Beliau mencadangkan demikian ketika menyoal balas bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-39 sebelum itu ditanya sama ada beliau pernah pada bila-bila masa melihat Jho Low di kediaman bekas Gabenor BNM itu di Bukit Tunku di sini.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah, Zeti Akhtar akan dipanggil memberi keterangan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Kami akan memanggil Zeti sebagai saksi pendakwaan dan soalan berkenaan boleh dikemukakan ketika soal balas. Beliau boleh menjawabnya,” ujar Sri Ram.

Dalam keterangannya, Tek Kuang menyatakan, beliau pernah mengunjungi majlis hari raya di kediaman Zeti Akhtar yang turut melibatkan kakitangan perbankan. Perbicaraan bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI