fbpx

Ibu bertongkat datang ke penjara insafkan Fuad GV9

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FUAD mengakui insaf enggan lagi terjebak dadah apabila diziarahi ibunya yang telah tua ketika berada di penjara.

SHAH ALAM – Sebak dan gagal menahan air mata ketika menyampaikan lagu berjudul Layang-Layang Terputus Talinya semasa konsert minggu keempat Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) malam tadi, penyanyi Fuad Rahman mengakui begitu beremosi akibat terkenangkan kisah silamnya tiga kali dipenjara akibat penyalahgunaan dadah.

Lebih memilukan, penyanyi asal Singapura itu mendedahkan, lagu nyanyian asal Alleycat tersebut benar-benar mengembalikan ingatannya terhadap kenangan diziarahi ibunya, CVi Marjuna Basri yang berusia 81 tahun dalam keadaan bertongkat ketika berada dalam tahanan di penjara.

Dari situlah dia insaf dan membuat keputusan untuk berubah dan keluar daripada dunia gelap yang dilalui selama ini.

“Kali terakhir saya dijatuhi hukuman tujuh tahun tiga bulan dengan enam kali sebatan. Sebelum itu pernah kena tiga kali sebatan masa kali pertama dipenjara disebabkan kesalahan sama..

“Masa itu mak saya datang melawat ke dalam, sebelum ini tak boleh melawat, hanya dapat tengok gambar saja, bila waktu itu dapat tengok muka mak saya, hati saya mula terdetik.

“Mak saya pun dah 81 tahun, dia datang dengan bertongkat. Terfikir juga kenapa mak datang dalam keadaan begitu. Saya takut apa-apa jadi dekat mak sebab saya tiada di rumah dan itu buat saya sedih.

“Dari situ, saya cakap pada diri saya, sudah tiba masanya untuk berubah dan kena keluar dari zon gelap itu,” katanya.

Pada masa sama, Fuad atau nama sebenarnya Mohamed Fuad Abdul Rahman, 43, memberitahu, kehidupannya kini berubah menjadi lebih baik selepas dia perlahan-lahan menjaga hubungan dengan Tuhan.

“Saya solat, macam mana ada masalah pun tetap cuba untuk tidak tinggal solat.

“Benda tu (solat) buat saya lupa kenangan-kenangan dan cerita lama itu,” katanya.

Terdahulu, tiada sebarang penyingkiran peserta pada konsert minggu keempat yang berlangsung malam tadi dan menyaksikan Fuad berada di kedudukan kelapan dengan markah 65 peratus.

Konsert mingguan GV9 mula bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor selama 10 minggu pada setiap Ahad, pukul 9 malam bermula 18 September lepas dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Juara GV9 bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI