fbpx

Hospital, klinik kesihatan di Kelantan terima 60 buah ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir HRPZ II di HRPZ II, Kota Bharu hari ini. - FOTO/ KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan sebanyak 60 buah ambulans yang bernilai RM24.3 juta di pelbagai fasiliti kesihatan di negeri Kelantan secara berperingkat bermula tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 buah ambulans melibatkan enam buah kategori A dan 14 buah kategori B akan ditempatkan di hospital-hospital di negeri ini.

Menurutnya, 40 buah ambulans kategori B pula akan diletakkan di klinik kesihatan dan kesemua kenderaan itu akan dibekalkan secara berperingkat bermula tahun depan.

“Penambahan ambulans itu dapat mempercepatkan masa bertindak dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Mencegah Banjir Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri. Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Sabri Abdul Mulok.

Mengulas lanjut, menurut Khairy Jamaluddin, selain itu, kerajaan turut mengumumkan pemberian seunit mesin ekokardiografi dan mesin prosedur pembedahan torakoskopi bantuan video (VATS) yang bernilai RM1.7 juta di HRPZ II.

Katanya, mesin ekokardiografi dapat memberikan keputusan yang lebih tepat dan pesakit dapat didiagnos dengan lebih awal malah seramai 1,500 pesakit akan menerima manfaat daripada mesin itu setiap tahun.

“Bagi mesin VATS, ia akan dapat mengurangkan tempoh masa pembedahan kepada satu jam berbanding torakotomi terbuka (operasi membuka rongga badan) yang memakan masa tiga jam.

“Proses perolehan kedua-dua mesin telah dimulakan dan ia dijangka akan beroperasi pada tahun hadapan,” katanya.

Menurutnya, pemberian mesin-mesin itu penting kerana HRPZ II merupakan hospital rujukan bagi pembedahan kardiotorasik di Zon Timur.

Tambahnya, kekurangan peralatan untuk menjalankan pembedahan di HRPZ II ketika ini menyebabkan Perkhidmatan Kardiothorasik dan Kardiologi terpaksa merujuk pesakit-pesakit ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang di Selangor dan Hospital Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI