PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) melibatkan beberapa daerah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula Rabu ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga Jumaat, 14 Oktober nanti.
“Keadaan hujan berterusan dijangka berlaku di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan manakala di negeri Sabah melibatkan daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat.
“Cuaca buruk sama turut dijangka melanda Sarawak iaitu di Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang,” katanya.
Sementara itu hujan berterusan dijangka berlaku sehingga lewat malam ini di negeri Sabah iaitu di Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat serta keseluruhan Wilayah Persekutuan Labuan.
Amaran Hujan Berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. – KOSMO! ONLINE














